KUALA LUMPUR – Akta Orang Asli 1954 perlu dikaji dan dirombak semula kerana sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa terutama daripada aspek perjuangan membela dan menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli.
Ahli Parlimen (Jelebu-BN), Datuk Jalaluddin Alias yang membangkitkan perkara itu berkata, langkah tersebut perlu kerana kali terakhir akta berkenaan dipinda adalah pada tahun 1967 dan dikaji semula sekali lagi pada 1974 iaitu 46 tahun lalu.
Ujarnya, antara pindaan yang perlu dimasukkan adalah daripada segi hak milik tanah Orang Asli yang tidak diberikan kawasan penempatan khusus untuk mereka tinggal.
“Masyarakat Orang Asli di Malaysia juga jauh ketinggalan dari segi sosio ekonomi, pendidikan dan taraf hidup mereka tetapi mereka tidak diberikan tanah untuk membina rumah sendiri.
“Jadi saya mahu kerajaan memberikan penjelasan mengenai usaha yang dilakukan bagi meningkatkan pemilikan tanah terutama oleh generasi kedua masyarakat Orang Asli yang mempunyai pendidikan dan latar belakang ekonomi lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen (Cameron Highlands-BN), Ramli Mohd. Nor ketika mencelah menyokong penuh cadangan supaya Akta Orang Asli 1954 itu dipinda dan meminta kerajaan turut meminda Kanun Tanah Negara dan Enakmen Tanah di peringkat negeri bagi membolehkan masyarakat Orang Asli mendapat tanah sesuai untuk pembinaan kediaman masing-masing. – MalaysiaGazette