PETALING JAYA – Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang baharu dipilih, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berlapang dada dengan permohonan maaf Barisan Nasional (BN) berhubung isu diboo kepada ahli-ahlinya di Tanjung Malim baru-baru ini.
Kata Wan Ahmad Fayhsal, biarpun rasa tidak senang dengan perkara itu namun berharap agar ia tidak lagi berulang.
“Saya fikir apa yang telah diumumkan oleh Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berhubung kejadian itu telah pun minta maaf bagi pihak jentera BN..
“Saya bagi pihak Armada mengalu-alukan dan menerima permohonan maaf tersebut walau bagaimanapun kami di peringkat Armada pusat, kita berpegang pada adab dan adat orang Melayu pribumi dan kita harap sekali tidak berulang lagi nanti kami bersedia untuk bermuafakat bersama dengan Pemuda UMNO dan Pemuda Pas untuk memastikan kemenangan calon BN di PRK Slim,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman rasmi barisan Exco sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.
Semalam, Annuar memohon maaf atas keterlanjuran Pemuda parti itu mengeluarkan sorakan “boo” Armada Bersatu.
Menteri Wilayah Persekutuan itu juga berharap isu tersebut tidak mematahkan semangat kerjasama antara parti gabungan di bawah Muafakat Nasional (MN).
Sabtu lalu, selepas proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Armada diboo berulang kali pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN.
Ia berlaku ketika Ketua Pemuda BN, Asyraf Wajdi Dusuki memperkenalkan barisan Pemuda parti yang menghadiri majlis itu yang turut disertai Pemuda Pas dan Armada.
Mereka sekali lagi diboo ketika Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyebut nama sayap itu dalam majlis sama.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh tidak mengambil hati terhadap apa yang berlaku.
Ditanya samada Armada kini sudah bersih daripada ‘parasit luar’, Wan Fayshal berkata, kepimpinan sayap parti itu diyakini bersih dan mampu untuk memimpin anak muda dalam parti.
“Saya tak fikir ada golongan parasit dalam Armada. Saya rasa apa yang dah kita lalui selama beberapa bulan ini kita sedang mendapatkan kepastian bahawasanya armada-armada yang berada bersama kami adalah yang setia dengan parti.
“Kita akan adakan perbincangan dengan pimpinan-pimpinan pemuda-pemuda daripada parti-parti UMNO dan Pas untuk kerangka besar Muafakat Nasional,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
…..ibarat menarik rambut dlm tepung….tepung tak beselerak…rambut tak putus!
UMNO kena ingat….jng dipatuk ular yg sama di tempat yg sama!
jangan jadi MELAYU MUDAH LUPA!
.