PETALING JAYA – Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan dirinya membuat sebarang kesalahan dengan berjanji untuk mengeluarkan surat sokongan bagi memudahkan ahli-ahlinya berurusan terus dengan kerajaan.
Beliau juga turut menolak dakwaan beliau memenangi kerusi Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) disebabkan oleh tersebarnya video berkenaan di media sosial.
“Saya rasa perkara itu tidak menjadi masalah kerana saya tidak melakukan apa-apa yang kesalahan undang-undang dan saya fikir faktor kemenangan saya bukan kerana video yang tular itu tapi kerana saya telah menyantuni semua Armada seluruh negara,” katanya dalam sidang media hari ini.
Ditanya sama ada beliau yakin tidak bersalah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata: “Saya tunggu siasatan itu berjalan dan saya yakin tidak bersalah.”
Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 23 saat itu menunjukkan Wan Ahmad Fayhsal berjanji untuk mengeluarkan surat sokongan bagi memudahkan ahlinya berurusan terus dengan kerajaan.
Timbalan menteri belia itu dipercayai berkata demikian ketika berkempen di Pahang baru-baru ini melalui rakaman video yang tular di media sosial sejak dua minggu lalu.
“Saya sebagai timbalan menteri, Insya Allah Ketua Armada nasional, akan permudahkan…dengan bagaimana? Saya keluarkan surat sokongan.
“Saya timbalan menteri, sebagai ketua Armada, dan saya akan membuat salinan kepada Yang Amat Berhormat, Tan Sri Perdana Menteri untuk perkukuhkan, itu guna jawatan,” katanya dalam video berkenaan.
Sebelum itu, pembangkang antaranya Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasir mencadangkan agar pemimpin Armada membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung kenyataan kontroversi Wan Ahmad Fayhsal itu. – MalaysiaGazette
Ada harga ke surat sokongan anda tu? Hehe