KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berharap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador digesa menyiasat semula aduan, laporan dan pendedahan mengenai aktiviti perjudian haram di Ampang sejak 2015 yang dibuat olehnya.
Menurut Jamal, sebagai pengadu atau pemberi maklumat, beliau ingin mengetahui sejauh mana aduan beliau itu disiasat dan diambil serius oleh pihak polis khususnya Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Ia susulan laporannya itu kini ‘memakan diri’ kerana pula disiasat dan diambil tindakan undang-undang di atas pertuduhan samun secara berkumpulan dan menceroboh premis perjudian di Taman Kosas pada 29 Disember 2016.
“Pada Rabu ini, saya sendiri akan menghantar surat dan laporan kami yang terdahulu kepada KPN supaya beliau siasat balik tentang aduan kami mengenai aktiviti perjudian haram di Ampang pada 2015.
“Kami nak tahu sejauh mana laporan, aduan serta pendedahan kami itu disiasat, berapa orang yang dituduh. Jadi saya berharap KPN cakap serupa bikin.
“Insya-Allah Rabu ini selepas Zohor saya akan ke Bukit Aman untuk menghantar supaya mungkin pihak KPN terlepas pandangan tentang aduan hari ini. Saya sendiri akan video, laporan dan sebagainya,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Mahkamah Majistret Ampang hari ini.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret Ampang 12 Mac 2019 melepaskan tanpa membebaskan Jamal daripada pertuduhan menceroboh sebuah premis perjudian di Taman Kosas, Ampang, kira-kira empat tahun lalu.
Pada 5 Julai 2018, Jamal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama Aenol Rofik Mawardi, 21, dan seorang lagi yang masih bebas, menceroboh kedai Starcom Trading and Services, Jalan Kosas 13, Taman Kosas di sini, jam 3.30 petang, 29 Disember 2016.
Jamal didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette