Home Pendapat Cuci tangan cara terbaik lindungi diri daripada penyakit

Cuci tangan cara terbaik lindungi diri daripada penyakit

Tiga kanak-kanak sedang mencuci tangan dari sebuah tangki air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Paya Jaras Hilir, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2019.

PANDEMIK Covid-19 membuatkan ramai yang baru sedar bahawa penyakit berjangkit boleh dicegah dengan mencuci tangan. Sebenarnya kerap mencuci tangan dengan sempurna boleh menghindari daripada penyakit berjangkit yang tersebar melalui sentuhan (contohnya jangkitan bakteria MRSA) dan rembesan pernafasan (contohnya Covid-19, influenza). Mungkin ada yang tertanya-tanya, bagaimana tangan menjadi penyebab kepada penyebaran Covid-19. Apabila pesakit Covid-19 batuk, rembesan pernafasan akan berterbangan ke udara (boleh disedut oleh individu berhampiran pesakit), dan kemudiannya jatuh ke permukaan kira-kira sejauh satu hingga dua meter daripada pesakit.

Jika pesakit menutup mulut dengan tangan semasa batuk, kuman akan mencemari tangan beliau. Tangan juga boleh dicemari apabila seseorang memegang permukaan yang tercemar tadi. Tangan-tangan yang tercemar ini boleh memindahkan kuman ke dalam badan apabila memegang mata, hidung dan mulut. Ini kerana mata, hidung dan mulut adalah pintu masuk virus SARS-CoV-2, penyebab Covid-19. Justeru, tidak hairanlah kenapa kita dinasihatkan untuk sentiasa membasuh tangan dan mengelakkan
daripada menyentuh muka.

Apakah perbezaan di antara membasah dan membasuh tangan?

Tidak dinafikan bahawa kita diajar membasuh tangan semenjak dari kecil lagi, terutamanya apabila hendak makan. Tetapi sedarkah bahawa kita hanya membasahkan tangan dengan air tetapi sebenarnya tidak betul-betul membasuh tangan. Daripada pemerhatian, ramai yang hanya membasuh telapak tangan, tetapi tidak membasuh bahagian hadapan tangan, hujung jari dan juga kuku. Kajian menunjukkan bahawa hujung jari, ibu jari dan celah-celah jari adalah kawasan yang kerap tertinggal ketika membasuh tangan.

Kawasan Tangan Selepas Dicuci

Sedarkah kita bahawa kawasan-kawasan berwarna merah di atas, juga terdedah kepada kotoran? Kita banyak menggunakan hujung jari apabila menggunakan telefon, komputer dan di dalam tandas
misalnya. Kita juga menggunakan hujung jari semasa menyediakan makanan, merasa makanan dan semasa makan. Jadi seharusnya kita memberikan lebih perhatian kepada kawasan-kawasan berwarna merah tersebut apabila membasuh tangan.

Bagaimana membasuh tangan dengan betul?

Mencuci tangan dengan teknik yang betul dapat mengurangkan jangkitan yang merebak melalui kaedah sentuhan. Semasa mencuci tangan, kita harus memastikan bahawa seluruh bahagian tangan iaitu tapak tangan, belakang tangan, celah jari, ibu jari, hujung jari dan kuku diratakan dengan sabun dan digosok. Menurut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masa 40 hingga 60 saat diperlukan untuk memastikan semua bahagian tangan dicuci sempurna.

Perlukah menggunakan sabun anti-bakteria?

Seperti diterangkan sebelum ini, untuk mendapatkan tangan yang bersih, kita perlu menggunakan air dan sabun. Terdapat pelbagai jenis sabun dijual di pasaran. Malah, kebanyakan sabun yang dilabel ‘anti-bakteria’ dijual lebih mahal berbanding sabun biasa yang tiada label anti-bakteria. Sebenarnya, sabun biasa sudah memadai digunakan semasa membasuh tangan. Penggunaan sabun anti-bakteria digalakkan semasa berlakunya sesuatu wabak jangkitan dan juga di hospital kerana risiko mendapat jangkitan adalah lebih tinggi.

Sabun buku atau sabun cecair?

Jika anda ke kedai-kedai makan atau restoran, ada disediakan sabun di tempat membasuh tangan. Ini adalah usaha yang baik oleh pengusaha kedai makan. Selain sabun cecair, ada juga pengusaha yang menyediakan sabun buku yang diletakkan di dalam bekas. Penggunaan sabun buku untuk membasuh
tangan adalah tidak digalakkan kerana kebiasaannya bekas sabun buku ditakungi air dan kelihatan agak kotor. Dikhuatiri sabun buku dicemari pelbagai jenis kuman yang boleh mengakibatkan jangkitan.

Tidak dinafikan bahawa penggunaan sabun buku dapat menjimatkan kos. Jika ada ingin menggunakan sabun buku dirumah misalnya, pastikan ia sentiasa kering dengan cara menggantungkan sabun di dalam kain jaring (net).

Apakah kesalahan yang sering dilakukan selepas mencuci tangan?

Apabila tangan telah dicuci bersih, kadangkala kita terlupa bahawa persekitaran kita masih kotor. Pili air dan tombol pintu di tandas awam merupakan antara tempat yang paling banyak kuman. Tanpa disedari pengguna-pengguna sebelum kita tidak mencuci tangan selepas membuang air. Beliau terus memusing
tombol pintu dan keluar dari tandas. Jika anda menggunakan tangan yang telah bersih untuk membuka tombol pintu, boleh bayangkan apa yang akan terjadi?

Untuk mengekalkan kebersihan tangan, ikuti langkah ini:
1. Setelah selesai cuci tangan, ambil tisu dan tutup pili air menggunakan tisu
2. Guna tisu yang sama untuk memusing tombol pintu
3. Buang tisu selepas keluar dari tandas
4. Selepas keluar tandas, basuh tangan sekali lagi sebelum makan
5. Pastikan sentiasa bawa tisu bersama
6. Bawa juga ‘hand sanitizer ‘

Bilakah waktu yang paling penting untuk membasuh tangan?

Berikut adalah waktu-waktu penting untuk membasuh tangan. Ini kerana aktiviti-aktiviti berikut
mendedahkan tangan dengan pelbagai jenis kuman yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

– Selepas membuang air kecil dan besar
– Selepas menyentuh haiwan
– Selepas terkena najis
– Selepas batuk dan bersin
– Selepas melakukan aktiviti berisiko seperti berkebun
– Sebelum dan selepas makan
– Selepas menyentuh pelitup muka

Jika tiada sumber air bersih. Bolehkah saya hanya menggunakan pembasmi kuman atau ‘hand sanitizer’?
Cucian tangan yang sempurna memerlukan air dan sabun. Terdapat juga pembasmi kuman yang dikenali sebagai ‘hand sanitizer’ untuk memudahkan proses pencucian tangan yang berkesan. Pembersih tangan yang mengandungi sekurang-kurangnya 70% alkohol mampu membunuh 99.9% kuman dalam masa 20 hingga 30 saat. Anda digalakkan membawa ‘hand sanitizer’ di dalam beg tangan untuk memudahkan cucian tangan yang kerap. Namun harus diingat, air dan sabun mesti
digunakan sekiranya kotoran pada tangan anda dapat dilihat (contohnya ada darah, pasir) dan selepas keluar dari tandas. Teknik mencuci tangan menggunakan pembasmi sedikit berbeza daripada teknik mencuci tangan menggunakan air dan sabun. Disarankan untuk mencuci hujung jari dan kuku terlebih
dahulu sebelum mencuci bahagian lain tangan. Ini kerana sifat alkohol yang mudah tersejat.

Teknik Cuci Tangan dengan ‘Hand Sanitizer’

Amalan mencuci tangan dengan sempurna bukan sahaja perlu dipraktikkan semasa pandemic Covid-19 ini, tetapi ianya perlu dilakukan sepanjang masa walau di mana kita berada. Untuk mengelakkan penyakit berjangkit, cucian tangan perlu dilakukan dengan dengan teknik yang betul dan pada masa yang betul.

 

Oleh: Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed
Pakar Mikrobiologi Klinikal
Fakulti Perubatan Sains dan Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia