KUALA LUMPUR – Sepanjang Januari hingga Julai 2020, jumlah bungkusan Pos Laju di Sabah meningkat sebanyak 41% kepada 4.86 juta unit berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ini memberi isyarat bahawa rakyat Sabah semakin aktif dalam arena e-dagang.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) berkata, aktiviti e-dagang dapat meningkatkan ekonomi Sabah terutama apabila penjualan barangan Sabah dapat ditingkatkan.
Ini memerlukan prasarana sokongan yang mampan, termasuk perkhidmatan pos dan kurier yang cekap.
Penubuhan Pusat Pos Laju terbaru di Lok Kawi, Sabah yang mampu mengendalikan 60,000 bungkusan sehari adalah lonjakan dari kapasiti 4,000 bungkusan sehari, sekaligus memberi peluang pekerjaan baharu kepada penghantar sambilan atau Pos Riders yang kini berjumlah 204 orang.
Menurutnya, Operasi Pusat Pos Laju Lok Kawi menjadikan khidmat penghantaran lebih cepat dan sistematik di kawasan liputannya serta mengatasi kelewatan penghantaran yang terjadi akibat peningkatan aktiviti e-dagang semasa pandemik Covid-19.
Setakat ini, di seluruh Sabah terdapat 44 Pejabat Pos, enam Pos Mini, lapan Pusat Pos Laju, satu Kiosk Pos Laju, empat Pusat Pemprosesan Mel dan sembilan Pos Bergerak. – MalaysiaGazette