Home Utama KPKT rancang hasilkan pelitup muka kain perca untuk pelajar

KPKT rancang hasilkan pelitup muka kain perca untuk pelajar

Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media selepas Majlis Projek Amal Pelitup Muka Fabrik Pelajar di Dewan Kampung Sri Tanjung Ampang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil inisiatif untuk penghasilan pelitup mukayang diperbuat daripada fabrik kitar semula untuk para pelajar.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya menyeru syarikat yang terlibat dalam industri kain dan tekstil membekalkan kain-kain perca yang tidak dipakai dijadikan sebagai fabrik untuk pelitup muka kitar.

Menurut beliau, sebagai langkah awal, syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) telah menyumbang empatt tan kain perca bagi memulakan inisiatif itu.

“Ia sebahagian usaha untuk kita mengurangkan kos perbelanjaan yang besar kerajaan terhadap pelitup muka pakai buang yang jelas membawa risiko ekosistem alam sekitar dan sejajar pemakaian pelitup muka yang diwajibkan sejak 1 Ogos lalu.

“Kain-kain perca yang diterima ini akan diagihkan kepada SW Corp dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemasyarakatan dan kebajikan selain ibu-ibu dan suri rumah di Parlimen Ampang dan Selangor khususnya untuk dibawa pulang dan menjahit kain itu dijadikan sebagai pelitup muka fabrik kitar mula.

“Bagi memastikan pelitup muka fabrik ini selamat dan menepati piawaian yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap kain perca yang diterima akan diasingkan dan dipilih mengikut kesesuaian dan kualiti material itu supaya aspek keselamatan dipatuhi.

“Saya seru semua syarikat-syarikat yang menjual kain atau cadar supaya berjiwa besar untuk tampil menyerahkan kepada kami kain perca yang ada dan boleh disalurkan di Jawatankuasa Penduduk Kampung Melayu Sri Tanjung, Ampang ini yang menjadi pusat pengumpulan dan penerimaan kain fabrik,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis Pelancaran Projek Amal Pelitup Muka Fabrik Pelajar di Dewan Kampung Sri Tanjung Ampang, dekat sini hari ini.

Reka bentuk pelitup muka untuk Projek Amal Pelitup Muka Fabrik Pelajar di Dewan Kampung Sri Tanjung Ampang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 OGOS 2020.

Zuraida berkata, mengedaran pelitup muka fabrik itu mencakupi semua pelajar membabitkan pelajar sekolah rendah, menengah, tahfiz dan madrasah selain pelajar kurang berkemampuan B40.

Menurutnya, sebanyak 16 sekolah rendah dan menengah dengan pelajar berjumlah 20,000 di Parlimen Ampang akan menjadi perintis kepada projek itu sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara yang akan membabitkan lima juta.

Tambah beliau, menerusi kerjasama dengan SW Corp yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Daroya Alwi dan pereka terkemuka, kotak-kotak akan disediakan untuk mengasingkan kain perca yang disumbangkan pihak luar.

Katanya, bagi tempoh 30 hari pertama selepas pelancaran projek itu, pihaknya menyasarkan penghasilan 60,000 pelitup muka, atau 200 helai pelitup muka sehari, yang membabitkan 200 tukang jahit yang terdiri daripada suri rumah.

“Bagaimanapun kita berjaya mengumpul 400 orang tenaga kerja wanita di Parlimen ini dan ia dijangka bertambah dalam masa terdekat.

“Selain itu, Pengasas Jakel juga telah bersetuju sebagai tambahan menyumbangkan 50,000 pelitup muka 3Ply untuk diedarkan kepada pelajar sekolah di kawasan Ampang,” katanya.

Jelas Zuraida, kos bagi menghasilkan satu pelitup muka itu ialah RM2. – MalaysiaGazette