AMPANG – Kerajaan sedang memperhalusi tempoh masa dan kaedah bagi melaksanakan cukai pengosongan atau ‘vacancy tax’ terhadap pemaju perumahan yang tidak dapat menjual rumah yang sudah siap.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, cadangan itu masih dalam peringkat perbincangan.
Katanya, cukai itu dicadangkan untuk mengelak projek perumahan yang sudah siap terus terbiar tanpa pembeli sehingga menjadi mangsa vandalisme.
“Adalah menjadi tanggungjawab setiap pemaju perumahan memastikan perumahan yang sudah siap dijual dan dihuni segera.
“Mereka sepatutnya membuat perancangan yang teliti mengelak masalah penjualan berlaku selepas projek itu disiapkan.
“Lagipun kementerian sedang memperhalusi cadangan itu serta tempoh dan kaedah pelaksanaan vacancy tax itu kerana pemaju tidak boleh sesuka hati mendirikan rumah tanpa perancangan teliti,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran projek Pelitup Muka Fabrik Pelajar di Kampung Melayu Ampang pagi ini.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan vacancy tax berpotensi dilaksanakan pada tahun depan.
Katanya, sebelum itu kerajaan perlu membuat beberapa penelitian daripada aspek undang-undang serta mengkaji rumah terbengkalai walaupun separa atau siap sepenuhnya.
“Kita kena ambil kira juga kebanyakan rumah yang siap dan belum dijual berdepan masalah vandalisme dan tempat penagihan selain dirosakkan pihak tak bertanggungjawab yang menceroboh premis tidak dijual.
“Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membuat penguatkuasaan bagi memastikan pemaju akan isikan kekosongan rumah itu secepat mungkin, iaitu menjual segera.
“Dalam aspek ini kaedah pembayaran vacancy tax untuk enam atau sembilan bulan sedang diperhalusi kerana nak pastikan rumah siap tidak terbiar tanpa dijual namun masih diperhalusi solusi terbaik,” ujarnya. – MalaysiaGazette