KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan membangunkan portal maklumat proses dan Stesen Kuarantin dalam masa terdekat bagi memudahkan proses pendaftaran Stesen Kuarantin.
Pengurusan Stesen Kuarantin berjalan dengan baik dan tidak timbul isu kekurangan bilik hotel kecuali membabitkan beberapa insiden kelewatan menaiki bas untuk ke stesen dan berada dalam bas terlalu lama sementara di tempatkan di bilik-bilik hotel.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu itu timbul kerana pergerakan rakyat Malaysia yang baharu tiba akan dibuat secara serentak dengan penumpang lain jika ketibaan di luar jangkaan.
Begitu juga semasa tiba di hotel, mereka terpaksa berada lama di dalam bas kerana penumpang tidak dibenarkan beratur panjang di kaunter hotel.
Susulan isu itu, NADMA, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pertahanan Awam (APM) mengambil perhatian yang mengambil maklum balas orang ramai terutama individu yang menjalani proses kuarantin di Stesen Kuarantin akan berusaha menambah baik proses pengurusan tersebut.
”Bagi memudahkan proses pendaftaran, mereka yang ingin pulang ke tanah air digalakkan memberi maklumat kepada pihak NADMA berkenaan tarikh dan masa ketibaan dan juga pilihan Stesen Kuarantin samada hotel atau Institut Latihan Awam,” katanya dalam sidang media di sini.
Dalam pada itu, Ismail menambah, mereka yang terlibat dibenarkan untuk menaik taraf bilik-bilik hotel yang menjadi tempat kuarantin mereka dengan syarat membayarnya lebihan kadar bilik hotel walaupun kerajaan menetapkan harga RM150.
“Ada orang kata bilik berbeza sebab ada hotel yang tiga bintang, empat bintang dan lima bintang. Oleh itu, makanan juga berbeza-beza.
“Hotel yang mahal tentunya lebih baik tetapi kalau mereka hendak tukar bilik yang lebih selesa, hendak duduk suite pun tidak ada masalah asalkan bayar sendiri,” ujarnya.
Begitu juga ada dalam kalangan mereka yang memohon untuk membeli makanan dari luar melalui penghantar makanan secara Online, kerajaan juga tiada halangan.
Walau bagaimanapun, mereka perlu menandatangani surat aku janji dan bertanggungjawab jika timbul sebarang masalah seperti keracunan makanan dan sebagainya.
Ismail menambah, dari 24 Julai sehingga 17 Ogos 2020, seramai 12,646 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 63 Hotel dan lima Institut Latihan Awam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah dan Labuan.
Daripada jumlah itu, seramai 43 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan. 5,216 individu telah di discaj dan dibenarkan pulang ke rumah.
Katanya, pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia bersama anggota PDRM telah membuat 481 pemeriksaan mengejut semalam untuk memastikan mereka yang masih menjalani kuarantin di rumah bagi mematuhi SOP yang ditetapkan..
Namun dalam pemeriksaan mengejut tersebut, empat individu telah dikenakan tindakan. – MalaysiaGazette