Home Nasional Shafie, jawab dulu kenapa diam ketika Filipina tuntut Sabah? – Anifah

Shafie, jawab dulu kenapa diam ketika Filipina tuntut Sabah? – Anifah

Anifah Aman

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sementara, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diminta jangan cuba berdolak dalih dan lebih baik  bercakap benar dalam isu tuntutan Filipina terhadap Sabah baru-baru ini.

Pada 27 Julai lalu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mendakwa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia pada ketika negeri itu dalam keadaan tunggang langgang dengan isu kehangatan pertukaran kerajaan negeri.

Menurut bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, beliau melontarkan persoalan yang hakikatnya menjadi kebimbangan rata-rata rakyat di negeri itu mengapakah pemimpin nombor satu Sabah ini hanya sekadar mendiamkan diri sahaja.

Walhal ada negara asing membuat dakwaan mengarut dan tuntutan tidak munasabah kononnya Sabah itu milik mereka.

Sebaliknya, Mohd Shafie dalam keadaan begitu defensive pula menyoal apakah yang telah di lakukan oleh Anifah ketika menjadi Menteri Luar.

Malah lebih mengejutkan apabila Mohd Shafie berkata dirinya kini sibuk dengan pilihan raya dan isu itu tidak menjadi satu keutamaan pada masa kini.

Ketika itu lagi, Anifah sendiri tampil memberikan cadangan supaya Mohd Shafie mengambil tindakan tegas dengan kenyataan Teodoro Locsin yang padanya sungguh melampau dan Malaysia terutamanya Sabah tidak sepatutnya tunduk.

“Saya tidak faham mengapa pula Mohd Shafie menyoal saya, adakah kerana bertanya mengapa beliau diam? Ini bukan sesi soal jawab, ini soal kedaulatan, keselamatan dan kepentingan Sabah.

“Sebagai Ketua Menteri yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab, sepatutnya anda jawab Locsin, anda mempunyai tanggungjawab besar kepada rakyat kita yang cukup terganggu dengan kenyataan Filipina.

“Tetapi anda pula mendiamkan diri dalam isu tersebut. Saya tidak berminat dengan kamu mahupun kerajaan lakukan dalam perkara ini, saya tanya soalan mengapa diam dalam isu ini.

“Janganlah bercerita tentang kamu buat itu dan ini, rakyat Sabah hendak mengapakah kamu diam sahaja ketika negara asing buat tuntutan mengarut seperti ini. Mengapa pula VK Liew yang buat jawab? Itu sahaja, mudah bukan?

“Mengapa dolak dalih, apa kamu cakap sememangnya betul, rakyat Sabah tidak ‘bodoh’ seperti yang kamu cakap sendiri semalam, mereka nampak. Kamu boleh cakap macam-macam, tapi mereka sedang lihat semuanya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Malaysia (PCS) juga melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan sikap ditonjolkan oleh Mohd Shafie yang seolah-olah memperkecilkan isu tuntutan Filipina itu.

Shafie marah Anifah dakwa dirinya tak peduli isu tuntutan Filipina

“Apakah pilihan raya jauh lebih penting daripada negara asing menuntut Sabah? Adakah ini kata-kata yang sepatutnya keluar dari mulut seseorang yang memimpin negeri Sabah sebagai Ketua Menteri? Apa lagi yang lebih penting daripada kepentingan negeri ini sebenarnya.

“Saya kecewa tapi rasanya jawapan Mohd Shafie ini jauh lebih mengecewakan rakyat Sabah, jika benar sikapnya sebegini, sememangnya anda tidak layak langsung untuk memimpin Sabah.

“Mana-mana Ketua Menteri pastinya akan memberikan maklum balas terlebih dahulu dalam isu-isu seperti ini, tapi yang ini sememangnya pelik. Kemudian beliau bertanya kembali kepada saya pula,” ujarnya.

Sambung Anifah lagi, ketika beliau menjadi Menteri Luar sememangnya beliau tidak pernah sesekali mengiktiraf apa jua tuntutan negara asing bukan dalam isu ini sahaja sebaliknya pelbagai lagi isu serta krisis melibatkan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara ini.

“Jika Shafie tidak tahu, saya telah bersuara lantang bukan dalam isu ini sahaja malah untuk pengetahuan saya jugalah yang main peranan penting ketika rundingan aman Bangsamoro pada 2016. Rundingan yang cukup penting di tengah-tengah pergolakan di Mindanao.

“Seandainya anda mahu beritahu tentang peranan saya, mungkin panjang sekali senarainya. Macam-macam saya buat dan mungkin ada yang Shafie tidak tahu langsung.

“Tapi itu tidak penting, yang penting adalah persoalan mengapa ada Ketua Menteri yang diam sahaja ketika ada pihak asing menuntut negeri kita,” katanya. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN atau tidak, saya akan terus bersuara untuk Sabah – Anifah

1 Komen

Comments are closed.