Home Politik Sikap berdiam diri Shafie sungguh membimbangkan – Teck Lee

Sikap berdiam diri Shafie sungguh membimbangkan – Teck Lee

KOTA KINABALU – Walau apapun alasan yang diberikan oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung tuntutan Filipina kononnya Sabah milik mereka langsung tidak boleh diterima sama sekali.

Namun apa yang lebih membimbangkan dan menakutkan ialah apabila Shafie yang memegang jawatan Ketua Menteri Sabah lebih rela berdiam diri dan menumpukan perhatian terhadap pilihan raya.

Menurut bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee, beliau terkesima dan terganggu dengan tindakan Shafie yang seperti membiarkan sahaja tuntutan yang dikemukakan Filipina dan keluarga Kiram serta tidak menentang propaganda mereka.

“Ini bukanlah soal politik, ini tentang negeri kita. Sejak kebelakangan ini sememangnya kerajaan Filipina dan juga pegawai-pegawai tingginya membuat dakwaan serta tuntutan Sabah secara agresif.

“Mereka menggunakan media dan juga secara terbuka membuat pelbagai dakwaan yang pada kita sesuatu yang langsung tidak boleh dikompromi dan pastinya individu pertama seharusnya tampil lantang adalah Ketua Menteri.

“Yang terbaru, pada 27 Julai lalu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mendakwa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia malah media Jepun seperti Nikkei memainkan isu tersebut.

“Jadi persoalan saya mengapakah kerajaan negeri Sabah bertindak buta dan pekak dalam isu yang begitu penting sekali sehingga membiarkan sahaja media antarabangsa melaporkan perkara tersebut, adakah ini cara pentadbiran anda,” soalnya.

Semalam, Shafie yang kini menjadi Ketua Menteri Sementara memberitahu, beliau telah melakukan apa yang perlu termasuklah membawa isu itu ke Mahkamah Sepanyol sebelum ini.

Bagaimanapun, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang mempersoalkan kenyataan terbaru Filipina itu dipandang sepi oleh Shafie, malah hanya membiarkan Datuk VK Liew mengeluarkan maklum balas.

Namun soal Shafie, perkara yang lebih utama ketika ini ialah pilihan raya dan beliau turut menyoal apa pula dilakukan Anifah tentang tuntutan Filipina ketika menjadi Menteri Luar.

Teck Lee yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata, sebelum ini beliau telah beberapa kali mencabar Shafie serta VK Liew untuk memberi penjelasan tentang tuntutan yang dibuat waris kesultanan Sulu ke atas Sabah di Mahkamah di Sepanyol.

“Keluarga waris Kiram ini telah buat tuntutan di Sepanyol pada 2019 ketika VK Liew masih lagi Menteri Pusat dan Shafie Ketua Menteri Sabah.

“Persoalan yang saya timbulkan termasuklah bagaimanakah keluarga Kiram yang miskin mampu membayar kos guaman yang saya rasa boleh cecah sehingga RM2 juta.

“Persoalan itu tidak pernah dijawab sehingga kini, bulan lepas pula isu Teodoro Locsin Jr yang mendakwa Sabah bukan milik Malaysia kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Peliknya, kerajaan negeri bawah Shafie berdiam diri sahaja, apa sedang berlaku?,” dakwanya.

Tambah Teck Lee, pada 14 Oktober 2019, kerajaan Filipina bertindak mengeluarkan dokumen perjalanan kepada rakyatnya di Kota Kinabalu.

“Apabila saya mendapat tahu tentang adanya kumpulan besar berkumpul di Dewan Luyang di sini, saya terus menyalurkan maklumat itu kepada pihak berkuasa. Pelik sekali kerana pihak berkuasa tidak tahu tentang perkara tersebut.

“Mengapa aktiviti kedutaan Filipina di Sabah tidak diketahui atau disedari? Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Menteri tidak mengetahui aktiviti kedutaan Filipina di sini, apakah benar ada kerajaan negeri di sini sebenarnya yang tidak tahu ‘apa-apa’?,” soalnya. – MalaysiaGazette

 

Shafie, jawab dulu kenapa diam ketika Filipina tuntut Sabah? – Anifah

1 Komen

  1. Sebab ada agenda tersembunyi…air di cincang tak kan putus….jadi original sabahan buat lah pilihan tepat ketika memberi undi pada PRN sabah yg tak lama lagi.

Comments are closed.