KUALA LUMPUR – Dhananwoodd Films Sdn. Bhd. muncul sebagai syarikat produksi perfileman tempatan pertama yang memperkenalkan poster bergerak (motion poster) sebagai daya tarikan terbaharu kepada penonton.
Teknologi yang sudah diguna pakai industri perfileman Hollywood itu dianggap tarikan terkini dalam dunia perfileman negara bagi membawa industri filem tempatan bergerak seiring dengan kemajuan perfileman antarabangsa.
Menurut Pengarah Urusan Dhananwoodd Films Sdn Bhd merangkap pengarah filem Makrifat Cinta, Kamal G, poster terbabit bukan sekadar memberi gambaran mengenai filem produksinya itu, sebaliknya bagi menarik perhatian penonton untuk menonton filem itu.
“Kewujudan poster bergerak (motion poster) ini sudah menjadi trend masa kini yang sudah diguna pakai dalam industri perfileman di Hollywood bagi menarik perhatian penonton atau penggemar filem.
“Sebelum melancarkan filem Makrifat Cinta ini, kami mahu motion poster ini menjadi inovasi baharu dalam industri perfileman tempatan.
“Kami melihat ini sebagai sesuatu yang menarik dalam memberi kelainan dalam perfileman tempatan disamping membawa industri filem negara melangkah setapak lagi seiring dengan kemajuan filem antarabangsa melalui suntikan teknologi dalam poster ini,” katanya.
Bermula sebagai suteradara kisah percintaan, Kamal G ingin menampilkan sesuatu yang berbeza untuk karya terbaharunya ini dengan menyuntik sedikit elemen komersial.
Filem yang menampilkan nama-nama hebat industri filem tempatan yang juga pemegang pelbagai anugerah industri perfileman, Makrifat Cinta yang dibintangi Syamsul Yusof, Nabila Huda dan Nora Danish memberi penceritaan yang berbeza dan emosi dalam jalan ceritanya.
“Kesukaran menghasilkan sesebuah karya adalah menonjolkan sesuatu yang terbaik. Barisan pelakon ini dianggap butiran permata yang sudah bersinar untuk digilap lagi menerusi dimensi berbeza. Penghujungnya, akan menghasilkan sebuah persembahan yang menakjubkan” katanya.
“Apa yang kami persembahkan ini bakal mengupas nilai-nilai kehidupan yang dekat dihati penonton. Persoalan mengenai Kekayaan? Kuasa? Perhubungan? Cinta? dan Kasih sayang? ini akan terjawab dalam Makrifat Cinta,” katanya.
Kagum dan terharu dengan semangat serta dedikasi Syamsul Yusof dalam memberikan lakonan terbaik meskipun mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran filem ini, menyuntik semangat kepada pelakon lain untuk memberikan hasil yang terbaik.
Apa yang ditunjukkan Syamsul dianggap sesuatu yang luar biasa dan sukar diperolehi daripada pelakon lain.
“Kerjasama yang diberikan oleh keseluruhan pasukan sesuatu yang sukar dilupakan. Sikap dedikasi yang ditonjolkan Syamsul memberikan kekuatan kepada keseluruhan tenaga produksi. Risiko yang diambilnya untuk kembali ke set penggambaran dengan tangan berbalut selepas beberapa hari berehat sangat mengharukan.
“Babak seterusnya mengkehendaki dia beraksi sama, tetapi dalam keadaannya sebegitu, beliau masih mampu memberikan lakonan yang terbaik. Saya juga kagum dengan kerjasama dan lakonan hebat yang diberikan oleh pelakon lain seperti Nora Danish, Nabila Huda, Adi Putra, Puteri Balqis serta Datuk Aznil Haji Nawawi.
“Lakonan mereka bukan sekadar mengagumkan dan terbaik, malah membantu menghidupkan lagi filem ini yang saya lihat cukup luar biasa,” katanya.
Filem bergenre drama yang membabitkan kos pembikinan sekitar RM3.5 juta itu turut menggunakan teknik janaan komputer (CGI) bagi menambah warna dan menggerakkan lagi jalan ceritanya.
Sekadar 10 ke 20 peratus CGI yang disuntik dalam filem ini, Kamal G tidak mahu terlalu bergantung dengan teknik CGI dalam karyanya kerana mahu mengekalkan keaslian penceritaan itu.
“Saya sangat teliti dari segi penggunaan janaan komputer (CGI) yang mana ia tidak boleh terlalu banyak disuntik dalam babak atau shot. Cukup sekadar bereksperimen dalam sesetengah shot untuk memberikan gambaran berbeza kepada penonton.
“Saya rasa tidak salah untuk filem kita menerima suntikan pakar teknikal dari luar negara. Saya akui, industri perfileman kita sudah mempunyai kepakaran yang baik, tetapi ada beberapa aspek kita masih belum sampai ke tahap yang diperlukan dan disebabkan itulah saya membawa filem ini ke India untuk menggunakan dan mempelajari kepakaran yang mereka miliki.
“Idea, bukan dilihat dari mana datangnya, tetapi bagaimana untuk kita berikan yang terbaik kepada penonton. Untuk menghasilkan yang terbaik, saya turut menggunakan lensa kamera dari India dan kepakaran teknikal dari sana untuk hasilkan sebuah karya yang unik serta berkualiti dari sudut yang berbeza,” katanya.
Makrifat Cinta menjadi filem Melayu pertama di Malaysia yang menggunakan lensa kamera Cooke Optics yang di sewa khas dari Mumbai India.
Lensa yang menelan kos yang tinggi ini turut menjadi tarikan dikalangan pengarah fotografi berpengalaman kerana prestasinya yang tidak dapat ditandingi oleh lensa biasa.
Lensa Cooke Optics mampu merakam di tempat gelap lebih baik daripada yang dapat dilihat oleh mata manusia. Lensa berteknologi tinggi ini melibatkan lebih sepuluh jurutera British yang bergabung tenaga selama setahun dalam penghasilannya.
Makrifat Cinta yang diinspirasikan daripada kisah benar ini menceritakan mengenai Mahathir lakonan Syamsul Yusof yang berusaha keras untuk memenuhi segala kemahuan isterinya (Nabila Huda) dan anak perempuan mereka (Puteri Balqis).
Dalam masa yang sama Mahathir berdepan dengan masalah yang dihadapi abang iparnya, Rizal (Adi Putra) yang juga penagih dadah tegar sehingga membuatkan rumah tangganya bermasalah. Tersepit antara masalah yang dihadapi, Mahathir cuba mencari jalan keluar daripada situasi yang menimpa dirinya sehinggalah dia bertemu dengan seorang wanita (Nora Danish).
Bagaimanapun, pertemuan itu merubah diri Mahathir daripada seorang lelaki yang dirundung masalah dan duka kepada lelaki yang bermotivasi. – MalaysiaGazette