Home Akhbar Cina Risiko penularan masih ada

Risiko penularan masih ada

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kemunculan kluster-kluster jangkitan baharu menunjukkan virus COVID-19 berada dalam komuniti kita dan mungkin membawa kepada penularan yang lebih besar.

Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Tee Kok Keng berkata, kemunculan lebih banyak kes selepas kawalan pergerakan dilonggarkan bukan sesuatu yang mengejutkan kerana keadaan sama juga berlaku di Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara Asia.

Beliau berkata, walaupun keadaan tidak membimbangkan, tetapi adalah jelas masyarakat semakin “longgar” dalam mengawal penyakit, walaupun pihak Kementerian Kesihatan sering mengeluarkan peringatan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab (tidak mematuhi prosedur operasi standard) bukan sahaja menyumbang kepada penularan virus, malahan memberi satu mesej yang tidak tepat kepada orang lain,” katanya kepada China Press.

Katanya lagi, mutasi D614G yang menjadi semakin dominan dalam penularan COVID-19 juga  bukan sesuatu yang mengejutkan.

Beliau bagaimanapun berpendapat, orang ramai tidak perlu terlalu khuatir dengan mutasi itu, tetapi perlu terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya, jangkitan adalah bergantung kepada pelbagai faktor termasuk jumlah masa terdedah kepada virus, jarak dengan sumber jangkitan, faktor persekitaran dan pergerakan manusia.

Jelasnya, faktor alam sekitar termasuk pengudaraan satu-satu tempat, kelembapan dan pendedahan terhadap cahaya matahari.

Mengenai penemuan bahawa antibodi yang terhasil selepas seseorang terjangkit COVID-19 hanya kekal berada di dalam tubuh selama beberapa minggu hingga beberapa bulan, Kok Keng menjelaskan, jangkitan pada saluran pernafasan biasanya tidak menyebabkan imunisasi sepanjang hayat.

“Antibodi biasanya akan dihasilkan tubuh untuk melawan virus selepas seseorang terkena jangkitan virus.

” Tahap dan tempoh perlindungan adalah bergantung kepada individu. Banyak jangkitan saluran pernafasan tidak mungkin menyebabkan penghasilan antibodi sepanjang hayat,” katanya.

Beliau berkata demikan sebagai mengulas laporan bahawa walaupun antibodi akan terhasil selepas seseorang terkena jangkitan COVID-19, tetapi antibodi itu akan hilang selepas beberapa bulan.

Keadaan itu bermakna pesakit yang sembuh daripada COVID-19 boleh menderita penyakit yang sama jika terkena jangkitan baharu selepas beberapa bulan. – MalaysiaGazette