Home Dunia Polis isytihar perusuh Portland serang bangunan kerajaan

Polis isytihar perusuh Portland serang bangunan kerajaan

Para penunjuk perasaan membakar tong sampah ketika merusuh. foto Agensi

PORTLAND – Para penunjuk perasaan menyalakan api, melemparkan batu dan menghancurkan tingkap pejabat kerajaan dalam tunjuk perasaan di bandar Portland, Amerika Syarikat.

Situasi tersebut disifatkan oleh polis sebagai rusuhan.

Portland kini berdepan dengan demonstrasi anti-rasisme.

Protes Black Lives Matter telah diadakan di seluruh Amerika Syarikat sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas kematian George Floyd, seorang lelaki Afrika-Amerika berusia 46 tahun.

Mangsa meninggal dunia selepas polis kulit putih yang menahannya bertindak menekan lututnya pada leher Floyd selama sembilan minit.

Protes yang berlangsung di Portland, kadang-kadang mencetuskan keganasan termasuk mensasarkan bangunan mahkamah.

Polis mengatakan beberapa anggotanya menjadi sasaran “laser hijau kuat” yang boleh menyebabkan kerosakan mata kekal ketika beberapa penunjuk perasaan berarak ke bangunan Persatuan Polis Portland.

“Polis Portland telah menyatakan perhimpunan dekat Bangunan Multnomah sebagai rusuhan setelah individu merosakkan, berulang kali menghancurkan tingkap tingkat pertama dengan batu dan melemparkan bahan bakar ke sebuah pejabat,” kata Pejabat Sheriff Daerah Multnomah di Twitter.

Bangunan itu menjadi operasi pentadbiran kerajaan daerah tersebut.

Kebakaran di bangunan itu dipadam oleh polis.

Polis mengatakan penunjuk perasaan yang gagal mematuhi perintah supaya bersurai boleh menyebabkan penangkapan dan penggunaan gas pemedih mata, peluru kawalan orang ramai dan senjata api.

Ketua Daerah Multnomah, Deborah Kafoury mengeluarkan kenyataan pada tengah malam memaklumkan sekumpulan kecil penunjuk perasaan telah membakar “Pejabat Komuniti”.

“Ini adalah pusat daerah kita, yang mana orang-orang dalam komuniti kita datang untuk berkahwin, mendapatkan pasport mereka dan meraikan tradisi budaya dan kepelbagaian mereka,” laman web Oregonian memetiknya sebagai berkata.

Setakat ini, keganasan di Portland tidak membabitkan kecederaan atau kematian tetapi dua individu telah ditahan. – MalaysiaGazette