BRASILIA – Penularan koronavirus di Brazil hampir perlahan, kata Kementerian Kesihatan selepas kadar jangkitan susut di bawah tahap utama dan tanda-tanda awal penurunan secara beransur-ansur dalam jumlah mingguan kes dan kematian.
Namun Brazil masih berhati-hati memandangkan terdapat angka yang menunjukkan peningkatan berterusan dalam jumlah kes yang disahkan dan jumlah kematian dalam 24 jam terakhir.
Pada hari Rabu, angka rasmi kementerian menunjukkan 49,298 kes koronavirus baharu dikesan dengan 1,212 kematian dilaporkan dalam tempoh tersebut.
Jumlah kumulatif kes jangkitan adalah sebanyak 3,456, 652 sejak wabak itu bermula, sementara jumlah kematian rasmi meningkat menjadi 111,100, menurut data kementerian.
Brazil kini merupakan negara kedua terbesar dijangkiti Covid-19 selepas selepas Amerika Syarikat.
Menurut data kementerian, Brazil telah menyaksikan penurunan jumlah kes Covid-19 yang disahkan kepada 304,684 minggu lalu berbanding semasa kemuncak sebanyak 319,653 pada minggu yang berakhir pada 25 Julai.
Angka kematian mingguan juga telah menurun kepada 6,755 berbanding semasa paras puncak 7, 677 kes pada minggu terakhir bulan Julai.
Sementara itu, kajian oleh Imperial College London menunjukkan untuk pertama kalinya sejak April, Brazil mencatat kadar jangkitan di bawah 1 pada minggu ini, menurut laporan media Brazil.
“R rate” di bawah 1 menunjukkan setiap orang yang dijangkiti akan menjangkiti kurang dari 1 orang, sekaligus mengurangkan penularan wabak.
“Ini adalah trend. Kita harus melihat bagaimana penyakit ini bertindak dalam dua minggu ke depan, adakah berlaku penurunan yang ketara, ”kata Arnaldo Medeiros, Setiausaha Pengawasan Kesihatan.
Meskipun begitu, langkah-langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka dan penjarakkan sosial mesti dipatuhi. – MalaysiaGazette