SLIM RIVER – MCA akan memberi fokus kepada jentera kempennya di Kampung Baru di sini menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.
Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ini kerana kawasan itu tertumpunya pengundi Cina yang dianggarkan jumlahnya antara 85 hingga 90 peratus.
Jelas beliau, ahli-ahli MCA akan bertungkus-lumus untuk membantu Barisan Nasional (BN) kerana sebagai parti komponen, pihak mahu memastikan kemenangan kepada calon parti itu.
“Semangat yang kita terap ini sejak penubuhan Perikatan dan ditukar menjadi BN pada 1974.
“Semangat kebersamaan itu tetap ada dan masih lagi semangat ini berkobar untuk pasti rakan dalam BN mencapai kemenangan. Itu semangat yang ditonjolkan dalam BN selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (PAK) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ka Siong berharap pengundi Cina memberi peluang kepada BN pada PRK kali ini.
Beliau turut yakin berkat usaha semua pihak tidak kira rakan komponen BN atau Kerajaan Perikatan Nasional yang turun membantu memberi satu petanda baik petanda yang baik.
Sementara itu, Ka Siong memberitahu pihak PAK telah bersetuju untuk membuka jalan di atas tanah itu bagi menghubung laluan singkat kepada penduduk sekitar.
Beliau turut melawat melawat kawasan hilir parit di kawasan itu yang sering dinaiki air apabila hujan lebat. – MalaysiaGazette