LONDON – Kelab Gergasi Liga Perdana Chelsea dilaporkan mempunyai sasaran perpindahan baharu untuk posisi penjaga gol mereka apabila The Blues dikatakan berminat untuk merekrut Sergio Romero dari Manchester United.
Menurut laporan ESPN, Chelsea berminat untuk mendapatkan Romero setelah melihat situasi tidak menentu penjaga gawang itu bersama United.
Pemain antarabangsa dari Argentina itu tidak menjadi pilihan penjaga gol utama dalam skuad Red Devils walaupun dia selalu menunjukkan prestasi yang baik ketika diturunkan.
Chelsea berpeluang membawa Romero musim panas ini selepas dia dilaporkan tidak berpuas hati dengan United kerana pengurus Ole Gunnar Solskjaer mengurangkan minit permainannya terutama setelah dia tidak termasuk dalam separuh akhir Piala FA dan separuh akhir Liga Europa.
Atas sebab ini, Romero sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan United pada musim panas ini.
Buat masa ini Chelsea bukan satu-satunya pasukan yang berminat dengan perkhidmatan Romero. Terdapat laporan mengatakan Everton dan Leeds United juga berminat untuk merekrut bekas penjaga gol Sampdoria ini pada musim panas nanti.
Sejak musim lalu Chelsea, boleh dikatakan sedang memburu penjaga gol baru musim panas ini. Pengurus, Frank Lampard dilaporkan ingin mencari pengganti untuk Kepa Arrizabalaga yang prestasinya tidak konsisten. – MalaysiaGazette