SLIM RIVER – Barisan Nasional (BN) yakin dapat merampas kembali enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dimenangi pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ( PRU-14) lalu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.
Calonnya, Mohd Zaidi. Aziz berkata, jangkaan itu berdasarkan faktor komitmen dan kerja kuat oleh jentera parti komponen BN dan Pas serta rakan BN yang komited menggerakkan kempen serta meraih undi.
Jelas beliau, ia dibuktikan menerusi kerjasama apabila BN menetapkan parti komponen dan rakannya memiliki sasaran jumlah pengundi sendiri yang mampu menyumbang kepada kemenangan BN.
“PDM Kampung Kuala Slim antara yang BN kalah tetapi saya yakin dengan bantuan dan kerjasama rakan daripada PAS, kita boleh tawan kembali PDM terbabit.
“Bagi PDM Slim, PDM Slim Utara, PDM Pekan Lama Sungkai dan Ladang Sungkai yang ada pengundi India dan Cina, BN sudah menemui mereka bersama parti komponen dan rakan BN, serta yakin berupaya menebus kembali kekalahan PRU lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di perkarangan Pejabat UMNO Bahagian Tanjung Malim di sini, hari ini.
Sebelum itu, Mohd Zaidi bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menemui masyarakat dan bersarapan pagi di Medan Arked Mara.
Mohd. Zaidi memberitahu, BN telah menerima maklum balas positif pengundi di PDM terbabit sebagai isyarat jelas pihaknya bakal menawan kembali kawasan berkenaan.
“Saya akan terus menemui seramai mungkin pengundi dan jentera dalam usaha mengekalkan kemenangan di kubu kuat BN ini dengan berbaki lapan hari sebelum PRK.
“Jentera BN akan berkempen dengan menyampaikan aspirasi calon supaya pengundi terus memilih BN dalam PRK ini,” katanya. – MalaysiaGazette