Home Nasional Ikmal Hazlan tak dilantik ahli lembaga pengarah Pharmaniaga – Ismail Sabri

Ikmal Hazlan tak dilantik ahli lembaga pengarah Pharmaniaga – Ismail Sabri

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan veteran ATM, Ngadikon Husain, 64 pada Majlis Perjumpaan Menteri Pertahanan bersama Warga Veteran ATM sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Dewan Felda Gunung Besout 2, Perak. foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2020.

SLIM RIVER – “Saya hanya beri sokongan sahaja dan keputusan dibuat oleh pengerusi (LTAT) dan beliau (anak timbalannya) tidak dapat.”

Itu penjelasan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu sokongannya terhadap surat anak timbalannya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang mahu dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga.

Bagaimanapun difahamkan anak timbalannya, Ikmal Hazlan tidak dilantik walaupun mendapat sokongannya.

Ismail Sabri menjelaskan, beliau hanya memberi sokongan di atas surat permohonan yang menjadi amalannya kepada sesiapa sahaja sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan pelantikan Ikmal Hazlan itu adalah di bawah kuasa Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang memiliki saham dalam Pharmaniaga.

“Seperti biasa siapa yang minta sokongan saya akan beri sokongan. Macam-macam orang datang jumpa di pejabat tapi sokongan itu bukan bermakna permohonan itu dipenuhi. Dalam kes ini anak beliau memiliki Sarjana Muda Kejuteraan Sivil dan saya fikir boleh bantu kalau beliau masuk.

“Tapi difahamkan tidak dilantik dan tidak campur serta terserah kepada Pengerusi LTAT dan nama tidak masuk dalam senarai lembaga.

“Saya hanya beri sokong sahaja dan keputusan dibuat oleh pengerusi dan beliau tidak dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada majlis perjumpaan bersama Warga Veteran Angkatan Tentera Malaysia di Dewan Orang Ramai, Felda Besout 2 di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan diminta mengulas salinan surat sokongan yang ditulis oleh Ikmal Hisham yang dikatakan meminta anaknya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga, tular di media sosial semalam.

Surat berkenaan ditujukan kepada Ismail Sabri bertarikh 5 Jun lalu mengandungi tulisan tangan Ismail yang diminitkan kepada Pengerusi LTAT dengan mengatakan dia bersetuju cadangan itu.

Ketika ini, pemegang saham utama Pharmaniaga adalah Boustead Holdings dan LTAT memegang saham majoriti di Boustead dan juga sebahagian saham dalam Pharmaniaga.

Syarikat farmasi itu mempunyai beberapa kekosongan jawatan dalam lembaga pengarahnya berikutan persaraan tiga ahlinya baru-baru ini, sebelum mesyuarat agung tahunan syarikat berkenaan pada 20 Julai.

Syarikat itu kemudian melantik tiga anggota baharu seperti yang diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 3 Ogos.

Mereka adalah Azhar Ahmad, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris dan Zulkifli Jafar. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya beri sokongan tetapi tak melantiknya – Ismail Sabri