KUALA LUMPUR – Bendera parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat diedarkan kepada perwakilan pada Kongres Negara 2020 bertema “Bersatu Untuk Malaysia” yang diketuai oleh bekas pemimpin PKR.
Tindakan mengedar bendera parti itu dilakukan oleh pihak sekretariat menjelang ketibaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan memberikan ucapan petang ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menjadi tetamu utama dalam program tersebut yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Mitec di sini.
Antara bekas pemimpin PKR yang hadir iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan Saifuddin Abdullah yang turut akan memberi ucapan.
Bekas pemimpin PKR yang lain termasuk Ahli Parlimen Segamat, Edmund Santhara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Talha dan Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin serta beberapa lagi wakil rakyat yang keluar dari partu reformasi itu.
Kongres Negara menyatukan NGO yang dikaitkan dengan bekas pemimpin PKR termasuk Pemuda Negara, Penggerak Komuniti Negara, Nations of Women (NOW) dan Penggerak Wanita Muda Negara.
Kongres yang bermula pukul 2 petang dijangka selesai pada pukul 7 malam nanti. – MalaysiaGazette