KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan dua sindiket dokumen palsu dalam dua operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada 20 dan 21 Ogos lalu di sekitar Kuala Lumpur.
Operasi pertama yang dijalankan oleh 21 orang pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa di Danau Desa, Kuala Lumpur pada 20 Ogos lalu berjaya menahan lapan orang warga asing yang terdiri daripada dua orang lelaki warganegara Bangladesh yang merupakan dalang utama sindiket berkenaan.
Turut ditahan bersama adalah empat orang wanita yang mana dua warga Bangladesh dan dua lagi Indonesia bersama sepasang kanak-kanak Bangladesh dan Indonesia.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, modus operandi sindiket itu ialah mengeluarkan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah kepada pelanggan Bangladesh yang bekerja di tapak-tapak pembinaan di sekitar ibukota.
Mereka mengenakan caj bayaran sekitar RM6,500 hingga RM8,000 untuk setiap permohonan pertama manakala untuk pembaharuan pula dikenakan caj sebanyak RM2,500.
Semakan juga mendapati mereka bertindak sebagai ejen pekerja asing walaupun tidak berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia.
”Semasa serbuan dilakukan, mereka cuba melengah-lengahkan masa dan telah bertindak mencampak sebuah beg yang mengandungi 18 naskah pasport dari tingkap rumah di tingkat tujuh ke bumbung balkoni. Namun begitu pasport-pasport tersebut telah dijumpai semula oleh pegawai operasi.
”Hasil keseluruhan operasi, pihak Imigresen telah menemui sebanyak 177 naskah pasport warganegara asing, salinan transaksi bayaran, wang tunai berjumlah RM4000, dua unit komputer, dua unit mesin pencetak dan sebuah kereta Produa Alza milik salah seorang lelaki Bangladesh tersebut. Turut ditemui dalam serbuan adalah beberapa salinan slip permohonan Rehiring MYEG,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara dalam operasi kedua, seramai 28 orang pegawai Imigresen dari Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan di Apartment Vista Saujana, Kuala Lumpur.
Pasukan telah memeriksa premis yang dihuni oleh tiga lelaki warganegara Bangladesh dan didapati mereja menjalankan aktiviti mencetak PLKS dan Pas Khas kepada warganegara asing terutamanya dari Bangladesh.
Operasi itu menjumpai sebanyak 58 keping pasport Bangladesh disimpan dan disorok di dalam periuk nasi dan di dalam beras.
JIM turut menemui sebanyak enam keping pelekat Visa Jabatan Imigresen dengan lima daripadanya telah bercetak.
Kesemua subjek juga mengakui memulakan aktiviti haram ini ketika permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu dengan mengenakan bayaran sebanyak RM5,000 seorang untuk mendapatkan kemudahan Pas Khas dan PLKS dipercayai palsu ini.
Kesemua urusniaga pembayaran dijalankan secara perbankan dalam talian, kata Khairul.
Kesemua tahanan akan ditempatkan di Lokap Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan susulan.
Siasatan ke atas dalang sindiket dijalankan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan dokumen dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM30,000 dan penjara tidak kurang lima tahun serta boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan.
Manakala warga asing yang lain disiasat diatas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jabatan Imigresen Malaysia menggesa agar orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai PATI atau maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan boleh menggugat kedaulatan negara supaya tampil menyalurkan maklumat. – MalaysiaGazette
jangan hanya menghukum sahaja,
halau terus dan BLACKLIST semua pendatang haram yg terlibat dengan JENAYAH!
xmustahil indeks jenayah bakal meningkat berpunca drpd pendatang haram jika tiada tindakan tegas yg diambil