Home Nasional Lebih 8 jam Ramesh beri keterangan di Bukit Aman

Lebih 8 jam Ramesh beri keterangan di Bukit Aman

Presiden PMSP, Datuk Seri Ramesh Rao tiba bagi memberi keterangan berhubung kes liwat Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Lebih lapan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Datuk Seri Ramesh Rao diambil keterangan oleh Bukit Aman sejak jam 10.30 pagi tadi namun sehingga kini kelibat pemimpin NGO itu masih belum kelihatan hingga kini.

Kehadiran Ramesh bagi memberi keterangan berhubung satu akuan bersumpah (SD) mendakwa seorang pemimpin politik pembangkang terlibat dengan liwat dengan seorang individu yang dikenali sebagai Raja Goyang.

Khamis lalu, polis dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kes liwat membabitkan pemimpin parti politik berikutan tular SD seorang lelaki mendakwa menerima bayaran RM300 untuk melakukan perbuatan itu.

Sebelum ini, SD bertarikh 29 Jun lalu itu dikatakan dibuat seorang lelaki mendakwa kejadian berkenaan berlaku di sebuah hotel di Subang, pada 2013.

Lelaki berkenaan turut mendakwa dihubungi pemimpin politik itu untuk bertemu di hotel terbabit sebelum melakukan perbuatan berkenaan dengan bayaran RM300.

Terdahulu Ramesh tiba di pintu utama Bukit Aman kira-kira jam 10.30 pagi tadi secara bersendirian tanpa ditemani oleh peguamnya.

Sebelum Ramesh memberi keterangan awal pagi tadi, beliau sempat memaklumkan kepada pemberita yang beliau akan menyerahkan beberapa dokumen bukti kes liwat terbaru itu setebal 100 muka surat.

“Saya akan serah bukti ini kepada Bukit Aman pagi ini berupa mesej aplikasi BBM dan Whatsapp melibatkan seorang ahli politk PKR dengan seorang individu,” katanya kepada pemberita di luar pintu utama Bukit Aman.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan hubungan luar tabii.

Sebelum itu, satu SD mendakwa seorang lelaki mengadakan hubungan luar tabii dengan seorang ahli politik sebanyak empat kali di hotel berbeza di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang pada 2013 tular menerusi media sosial.

Bagaimanapun, individu yang membuat SD itu membuat laporan polis minggu ini mendakwa Ramesh mempengaruhinya agar membuat tuduhan tersebut. – MalaysiaGazette