LONDON – Manchester United dikatakan berminat untuk menggandingkan N’Golo Kante dengan Paul Pogba pada musim depan yang sebelum ini telah membawa Perancis memenangi Piala Dunia 2018.
Kante berdepan situasi yang sukar pada musim ini bersama Chelsea kerana menghadapi pelbagai masalah termasuk dengan corak taktikal pengurus, Frank Lampard.
Selain itu, bekas pemain Leicester City itu juga mengalami kesukaran untuk memecah masuk pasukan utama kerana kerap mengalami kecederaan selepas hanya bermain 20 perlawanan di Liga Perdana inggeris.
Rekod itu merupakan rekod terendah dalam karier Kante di liga itu sejak bermain di Leicester pada tahun 2015.
Dia tidak pernah bermain di bawah 34 perlawanan setiap musim di Liga Perdana.
Apatah lagi, menurut sumber pemain ini dikatakan termasuk dalam senarai penjualan dari skuad Chelsea untuk musim 2020/2021.
Lampard kini memiliki banyak pilihan di bahagian tengah seperti Mateo Kovacic, Ross Barkley sehingga pemain muda Billy Gilmour selain Jorginho yang kemungkinan akan kekal sebagai barisan utama.
Menurut laporan The Mirror, United akan memanfaatkan keadaan di Chelsea untuk membeli Kante kerana pemain berusia 29 tahun itu dianggap mampu menjadikan posisi tengah United lebih kuat pada musim 2020/2021.
Dengan prestasi Fred yang tidak konsisten begitu juga Scott McTominay di bahagian tengah, United hanya bergantung pada Nemanja Matic yang tentunya sangat berisiko. – MalaysiaGazette