Home Seni Hidup Tersentuh lihat hidangan rumput rebus, Afdlin lakukan misi bantuan ke Syria

Tersentuh lihat hidangan rumput rebus, Afdlin lakukan misi bantuan ke Syria

Pelawak, Afdlin Shauki bergambar kenangan bersama anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Selangor pada Majlis Perasmian dan Berbuka Puasa dan Pelancaran Misi Syria di Hati di Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 06 JUN 2017.

KAJANG – Rebus rumput untuk dijadikan juadah berbuka puasa.

Itu antara hidangan yang disajikan kepada keluarga pelarian Syria di Lubnan sejak awal Ramadan lalu.

Ketika umat Islam yang lain berbuka puasa dengan pelbagai hidangan yang enak-enak, masyarakat Islam di Syria terpaksa menjadikan apa sahaja benda yang boleh dimakan untuk mengalas perut.

Perkara itu diceritakan pengarah filem dan juga pelawak Afdlin Shauki apabila bertekad mahu melaksanakan misinya untuk membantu pelarian Islam yang hidupnya tersepit di negara bergolak itu.

Menurut Afdlin, hatinya tersentuh setelah mendapat tahu perkara itu dan beliau telah memasang niat untuk membantu pelarian di sana menerusi Yayasan Afdlin Shauki yang baru ditubuhkannya.

Satu lagi yayasan yang turut membantu bagi misi itu katanya, ialah Yayasan Kubra yang bertindak sebagai pengutip dana bagi misi berkenaan.

Jelasnya, pergolakan yang berlaku di Lubnan telah menyebabkan rakyat negara itu menjadi pelarian dan status mereka itu pula menghalang untuk bekerja meskipun sebenarnya mereka boleh bekerja.

Afdlin Shauki

“Cara mereka sebagai pelarian untuk terus hidup adalah dengan bantuan sahaja. Disebabkan itu yayasan saya dan Yayasan Kubra mahu membantu daripada segi kewangan, makanan dan ubat-ubatan.

“Walaupun keadaan pada masa ini musim panas tapi itu bukan pengahalang bagi kami untuk membantu mereka yang sememangnya memerlukan,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian dan berbuka puasa Afdlin’s Shell Syiok di Plaza Metro Point di sini semalam.

Ujar penerbit dan juga pelakon itu lagi, beliau tidak membuat sebarang persediaan untuk melaksanakan misinya itu dan hanya redha dengan qada dan qadar daripada tuhan sahaja.

Katanya, dia bersyukur kerana ibu dan juga keluarganya membenarkan beliau untuk berangkat ke negara berkenaan pada misi bantuannya kali ini meskipun pernah dihalang sebelum ini.

“Baru-baru ini saya pernah berhasrat mahu menyampaikan bantuan kepada penduduk Yaman, tetapi disebabkan sehari sebelum kami bertolak berlaku insiden pengeboman apabila US (Amerika) bertindak ganas terhadap negara itu, ibu dan keluarga telah menghalang.

“Saya ni memang tidak suka berfikir perkara yang bukan-bukan sebab itu saya melakukan ini (misi bantuan),” ujarnya.

Tambah beliau, misinya ke Lubnan pada 10 hingga 16 Jun ini merupakan kali pertama ke negara itu dan tidak merasa janggal untuk melakukannya kerana sudah memiliki pengalaman sperti itu sebelum ini.

Bercakap mengenai restoran yang dirasmikannya itu Afdlin berkata, ia baru saja beroperasi minggu lepas di dalam bulan Ramadan ini.

Pada mulanya kata beliau, dia dan seorang rakan kongsinya teragak-agak untuk bermula kerana ketika ini umat Islam sedang berpuasa.

“Alhamdulillah, kami tidak menyangka ada permintaan hingga menyebabkan restoran ini sering mendapat tempahan untuk berbuka puasa,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keunikan masakan di restorannya Afdlin berkata, menu masakannya memiliki kelainan apabila menggunakan sos yang berbeza serta menggunakan gabungan daging-daging lembut untuk sup tulang merah.

Pada majlis berbuka puasa tersebut Afdlin berbesar hati meraikan anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Selangor. – MalaysiaGazette