Home Dunia Shinzo Abe ke hospital semula

Shinzo Abe ke hospital semula

Shinzo Abe. foto Agensi

TOKYO – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe akan ke hospital hari ini, menurut laporan akhbar Yomiuri.

Memetik beberapa sumber, Yomiuri memaklumkan Abe akan menerima hasil pemeriksaan perubatan yang dibuat minggu lalu.

Abe menjalani pemeriksaan kesihatan selama tujuh setengah jam, menambah kebimbangan akan kesihatannya.

“Beliau akan menerima keputusan peperiksaan kesihatannya,” kata sumber itu kepada akhbar berkenaan.

Abe, 65, adalah Perdana Menteri paling lama berkhidmat di Jepun.

Abe, yang memegang jawatan sejak 2012, menerajui tugas untuk kali kedua sebagai Perdana Menteri, selepas mengundurkan diri dari penggal pertamanya pada tahun 2007.

Media Jepun membuat spekulasi mengenai kesihatan Abe bulan ini.

Majalah mingguan Flash mengatakan Abe muntah darah di pejabatnya pada 6 Julai tetapi dinafikan oleh pegawai-pegawai kerajaan.

Pejabat Perdana Menteri tidak memberikan penjelasan terperinci mengenai lawatannya ke hospital minggu lalu, tetapi Menteri Kesihatan, Katsunobu Kato, memaklumkan Abe menjalani pemeriksaan rutin.

Abe menjalani pemeriksaan berkala dua kali setahun, kali terakhir pada 13 Jun, kata agensi berita Kyodo, sambil menambah bahawa lawatan minggu lalu adalah tindak lanjut daripada pemeriksaan bulan Jun, dengan menyebut sumber hospital.

Akira Amari, seorang pegawai kanan Abe berkata, Perdana Menteri itu mungkin keletihan kerana bekerja berterusannya terutama ketika dunia dilanda wabak koronavirus. – MalaysiaGazette