Home Politik Mahkamah peluang Khairuddin bersihkan nama – Puad

Mahkamah peluang Khairuddin bersihkan nama – Puad

Dr. Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Para penyokong Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tidak perlu membuat sindrom penafian sehingga mengeluarkan perkataan kesat hanya kerana tidak boleh menerima kritikan.

Sebaik-baiknya, Mohd Khairuddin berpeluang membersihkan namanya di mahkamah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, setakat ini sudah 27 laporan polis dibuat terhadap menteri itu kerana melanggar kuarantin wajib selama 14 hari.

”Segelintir penyokong Mohd Khairuddin tidak boleh menerima kritikan. Seperti biasa keluarlah perkataan seperti bodoh dan tali barut DAP.

”Elok Mohd Khairuddin membersihkan namanya di mahkamah.

”Kenapa bersikap denial. Baru enam bulan merasai nikmat kuasa kita sudah lalai. Belum lagi 22 bulan. Janganlah berfikiran lapok. Bila dikritik itu dianggap pecah belah tetapi buat salah tidak dianggap menjejaskan imej jamaah,” katanya.

Tambah Puad, dengan membersihkan nama di mahkamah dengan menjelaskan kenapa beliau tidak pakai gelang dan kenapa langgar kuarantin sampai 12 kali.

Setidak-tidaknya Mohd Khairuddin dapat juga meredakan kegusaran rakyat selepas beberapa individu yang melanggar arahan kuarantin dikenakan tindakan tegas.

Selain itu, kata Mohd Puad, mahkamah juga boleh mempertimbangkan sama ada memulangkan gaji empat bulan boleh meringankan hukuman jika didapati bersalah.

Namun, veteran UMNO itu turut mempersoalkan bagaimana kalau ada pegawai di kementerian Khairuddin turut mohon potong gaji supaya tidak dikenakan tindakan tata tertib.

”Justeru, berlapang dadalah kalau Mohd Khairuddin didakwa di mahkamah. ‘Kalau hukumannya berat, Mohd Khairuddin akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen dan menteri. PRU-15 nanti bertandinglah semula.

”Setidak tidaknya nama baik Kerajaan PN, Muafakat Nasional dan Pas tidak tercemar,” ujarnya. – MalaysiaGazette