Home Ekonomi Tarikh serah Borang B Taksiran 2019 pada 31 Ogos ini

Tarikh serah Borang B Taksiran 2019 pada 31 Ogos ini

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengingatkan semua pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan perniagaan agar mengemukakan Borang B Tahun Taksiran 2019 selewat-lewatnya pada 31 Ogos ini.

Sebagai panduan berkenaan pengemukaan Borang tersebut, pembayar cukai boleh merujuk Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2020 yang boleh dicapai menerusi pautan berikut:

i. Bahasa Melayu: http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_Pin.3_1.pdf

ii. Bahasa Inggeris: http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_Pin.3_2.pdf

Bagi membantu pembayar cukai individu bagi kategori ini mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) mereka, LHDNM turut menyediakan senarai pelepasan cukai bagi TT 2019 yang boleh diakses daripada portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my > Individu > Pelepasan Cukai.

Isi maklumat diri dan perbankan dengan tepat untuk kelancaran proses bayaran balik cukai.

Pemprosesan bayaran balik cukai terlebih bayar sentiasa menjadi keutamaan LHDNM dalam memastikan setiap pembayar cukai yang layak akan menerima bayaran balik cukai mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

Sehubungan itu, bagi membantu LHDNM memproses setiap bayaran balik cukai terlebih bayar dengan lancar, adalah dinasihatkan agar semua pembayar cukai mengisi maklumat yang tepat serta terkini dalam BNCP mereka.

Antara maklumat terkini dan penting yang diperlukan untuk kelancaran proses bayaran balik cukai terlebih bayar ialah nama penuh, nombor pengenalan diri, maklumat akaun bank yang aktif, alamat surat-menyurat, nombor telefon, alamat emel dan nombor pendaftaran pertubuhan (bagi pembayar cukai kategori pertubuhan). – MalaysiaGazette

+ posts