Home Nasional Premis ‘pintu belakang’ jual rokok seludup, minuman keras tumpas

Premis ‘pintu belakang’ jual rokok seludup, minuman keras tumpas

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib menunjukkan minuman keras alkohol yang berjaya dirampas sepanjang Op Khas JOL/PATI/PREMIS HARAM di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 24 OGOS 2020.

SHAH ALAM – Sebanyak 4,335 kotak rokok dan 4,176 minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dirampas dalam serbuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dari 12 hingga 21 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, jumlah rampasan dianggarkan tidak termasuk cukai bernilai RM90,100.

“Sebanyak 37 serbuan telah dilakukan ke atas kedai-kedai runcit yang dijalankan secara haram oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Shah Alam.

“Susulan serbuan itu, sebanyak 71 tangkapan turut dilakukan membabitkan warga asing berumur dari 17 hingga 45 tahun,” katanya pada sidang media di IPD Shah Alam hari ini.

Antara warga asing yang ditahan ialah 32 orang dari Indonesia, Bangladesh (15), India (16), Myanmar (1), Sri Lanka (2) dan Pakistan (2).

Turut ditahan tiga warga tempatan terdiri daripada Melayu (2) dan seorang Cina.

Antara minuman keras alkohol yang berjaya dirampas sepanjang Op Khas JOL/PATI/PREMIS HARAM di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 24 OGOS 2020.

Selain itu, Baharudin juga berkata, sebanyak 54 tangkapan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam dan Sekysen 76 Akta Eksais 1976.

“Sebanyak 17 tangkapan yang dilakukan dengan pelbagai jenis kesalahan masing-masing disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Sekysen 376A Kanun Keseksaan, 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Wanted), Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Ditanya tentang modus operandi aktiviti penjualan arak dan rokok seludup secara haram itu, Baharudin berkata, kebanyakan premis ini melakukan jenayah itu secara tersembunyi.

Antara rokok seludup yang berjaya dirampas sepanjang Op Khas JOL/PATI/PREMIS HARAM di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 24 OGOS 2020.

“Benda ini dia buat secara terlindung, serbuan-serbuan ini ada serbuan kedai simpan di belakang kedai, ada premis-premis buka pintu belakang,” katanya.

Katanya lagi, dalam operasi bersepadu itu, pihaknya turut membuat pemeriksaan ke atas 2,040 orang awam, 1,664 kenderaan, 367 premis dan mengeluarkan 53 saman. – MalaysiaGazette