Home Ekonomi Pendapatan Prasarana RM277.3 juta pertengahan tahun ini

Pendapatan Prasarana RM277.3 juta pertengahan tahun ini

Presiden Prasarana, Muhammad Nizam Alias ketika hadir di Majlis Pencapaian Prasarana Pada 2019 dan 2020 di Hotel Concorde, Kuala Lumpur. foto AZADI MOHAMAD ISKANDAR, 24 Ogos 2020.

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana)  mengumumkan pendapatan sebanyak 277.3 juta dalam tempoh setengah tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana, Muhammad Nizam Alias jumlah itu direkodkan menurun sebanyak 42 peratus untuk tempoh yang sama pada tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, penurunan itu tidak boleh dipertikaikan memandangkan sejak Mac yang lalu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengawal penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan jumlah pengguna pengangkutan awam ketara. 

“Perkara sebegini bukan hanya dirasai oleh Prasarana sahaja tetapi semua industri mengalami perkara yang sama. Prasarana pada Mac yang lalu sememangnya tidak menerima penumpang seperti selalu kurang banyak, dengan kawalan pergerakan yang ketat,” katanya ketika membentangkan pencapaian Prasarana tahun 2019 dan pertengahan pertama tahun ini hari ini.

Situasi penyusutan pendapatan itu juga, kata Muhammad Nizam seiring  pengurangan perbelanjaan iaitu RM546.8 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM596.5 juta.

Terdahulu beliau memaklumkan, pendapatan Prasarana pada tahun 2019 disifatkan sangat membanggakan apabila mencapai RM1,052 juta berbanding RM827 juta pada tahun 2018.

Kata Muhammad Nizam lagi, syarikat berkenaan pada tahun lalu juga berjaya menurunkan 10 peratus perbelanjaan keseluruhan berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah kos perbelanjaan tahun 2018 adalah RM1,439 juta. Kerugian juga pada tahun lalu adalah RM249 juta jika dibandingkan pada 2018 adalah RM612 juta dan ia menurun 59 peratus,” jelas beliau.

Muhammad Nizam turut mendedahkan Prasarana mengalami kerugian lebih RM200 juta pada setengah tahun pertama tahun ini dan menjangkakan jumlah itu akan bertambah sekali ganda menjelang hujung tahun.

Ujar beliau, situasi itu berlaku memandangkan pandemik Covid-19 mencetuskan norma baharu yang merubah cara bekerja apabila pelbagai sektor memberi kebenaran kakitangan tidak ke pejabat.

Selain itu pada tahun lalu, beliau berkata, tahap kepuasan hati pengguna adalah 84.2 peratus berbanding 82.8 peratus pada 2018.

Ketika ditanya tentang jangkaan pendapatan Prasarana pada tahun depan, Muhammad Nizam berkata, pihaknya belum boleh membuat kesimpulan kerana bergantung dengan perkembangan semasa tindakan lanjut kerajaan bagi menangani Covid-19.

“Apa juga jumlah dijangkakan tahun depan, kami perlu melihat keadaan ekonomi kita, lihat apa tindakan kerajaan, semua ini akan memberi kesan kepada pendapatan Prasarana,” ujarnya. -MalaysiaGazette

+ posts