Home Nasional 515 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKP

515 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKP

KUALA LUMPUR – Seramai 515 individu telah ditahan polis atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 440 individu telah dikompaun manakala 69 individu pula direman, dan 6 individu telah dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 18 individu gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk, 17 tidak memakai pelitup muka, 252 aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

“Sebanyak 205 aktiviti di dalam pub/kelab malam, dua kes gagal mematuhi arahan kuarantin, 10 premis beroperasi lebih masa , 2 premis tanpa lesen, 7 aktiviti perjudian dan 2 gagal lunaskan bayaran kompaun,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 4,929 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 16,863 anggota telah membuat pemantauan di 4,134 pasar raya, 5,083 restoran serta 1,370 penjaja, 1,651 kilang, 3,780 bank dan 853 pejabat kerajaan.

Turut dipantau 1,074 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air serta 104 terminal pengangkutan udara.

Ujar beliau, polis telah mengadakan 53 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 29,777 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Ismail berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 15,980 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Kesemua mereka ditempatkan di 67 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,466 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 55 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 8,459 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya lagi.

Mereka telah pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette