SLIM RIVER – Tepat pukul 8 pagi tadi, pusat mengundi di Balai Polis Daerah Muallim dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Proses pengundian awal hari ini akan menyaksikan seramai 267 anggota dan pegawai polis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khas yang ditetapkan oleh SPR.
Mereka diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung serta menggunakan pencuci pembasmi kuman sebelum dibenarkan mengundi.
Mereka juga diwajibkan menjalani saringan suhu sebelum dibenarkan memasuki pusat mengundi dan diberikan kertas undi awal.
Turut hadir, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid dan Ketua Polis Daerah Muallim, Supritendan Sulizmie Affendy Sulaiman.
Balai Polis Daerah Muallim merupakan satu-satunya pusat pengundian awal di mana proses mengundi akan ditutup pukul 5 petang.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom berkata, pihaknya akan melakukan penambahbaikan SOP pada hari mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.
Azmi berkata, tindakan itu tidak akan lagi melibatkan penggunaan sarung tangan plastik dan berus dalam kalangan pengundi yang dilaksanakan di PRK Chini sebelum ini.
Sebaliknya jelas beliau, penggunaan cecair pembasmi kuman tangan akan kerap digunakan bagi mempercepat proses mengundi.
“Pada hari mengundi, selain diwajibkan memakai pelitup muka dan melalui proses saringan suhu, penggunaan cecair pembasmi kuman akan dilakukan dua kali berbanding sekali di PRK Chini.
Untuk rekod, PRK DUN Slim mencatat sejarah tersendiri kerana yang kedua diadakan selepas Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan akibat pandemik Covid-19.
Sementara itu, PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.
BN mengemukakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd. Zaidi Aziz yang berdepan calon Bebas mewakili parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air iaitu seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Santharasekaran.
DUN Slim memiliki seramai 23,094 pengundi berdaftar termasuk pengundi awal seramai 267 orang hari ini. – MalaysiaGazette