KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerima sebanyak 384 aduan dalam tempoh separuh pertama tahun ini dengan 381 aduan terhadap syarikat penerbangan.
Sementara itu tiga aduan lagi terhadap lapangan terbang.
Aduan-aduan yang diterima dalam tempoh tersebut berkurangan sebanyak 52.6 peratus berbanding 810 aduan yang dibuat dalam tempoh yang sama pada tahun 2019.
Mavcom dalam Laporan Pengguna kelapannya berkata, 90.9 peratus daripada 384 aduan telah berjaya diselesaikan dan ditutup.
Walau bagaimanapun, suruhanjaya juga telah menerima sebanyak 2,340 permintaan pemulangan semula berkaitan dengan Covid-19 daripada pengguna, yang mana sebanyak 2,146 permintaan adalah untuk pemulangan semula dan 194 permintaan bagi perubahan tarikh penerbangan.
Dalam pada itu, Mavcom juga telah menerima sebanyak 490 aduan dengan dokumentasi yang tidak lengkap, oleh itu, ia tidak dapat dinilai secara adil.
Suruhanjaya ini turut menerima sebanyak 79 aduan yang berada di luar bidang kuasa Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).
Laporan ini juga menunjukkan sebanyak 57.8 peratus aduan yang diterima dari 1 Januari 2020 hingga 30 Jun 2020 telah mengakibatkan syarikat penerbangan menarik balik keputusan asal mereka dan memberikan resolusi yang lebih adil serta memuaskan bagi pengguna berbanding daripada keputusan asal yang telah dibuat dahulu.
Ini mewakili kenaikan 3.8 peratus berbanding dengan tempoh 1 Januari 2019 hingga 30 Jun 2019.
Berbanding dengan syarikat penerbangan lain, Malaysia Airlines telah mencatat jumlah aduan yang tertinggi bagi setiap juta penumpang dalam tempoh setengah tahun.
Katanya, sySyarikat penerbangan itu menerima sebanyak 44 aduan untuk setiap sejuta penumpang yang menaiki penerbangannya.
Penerima tertinggi kedua dan ketiga adalah Malindo Air (32) dan AirAsia X (24) aduan bagi setiap sejuta penumpang.
Bagi syarikat penerbangan, proses pemulangan semula, kerosakan bagasi dan pembatalan penerbangan adalah tiga kategori aduan teratas, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 51.4 peratus aduan.
Aduan untuk lapangan terbang pula berkaitan dengan kemudahan lapangan terbang dan keselamatan lapangan terbang.
Laporan Pengguna juga melaporkan pelbagai inisiatif lain yang telah diambil oleh MAVCOM untuk memperkuatkan dan meningkatkan kesedaran pengguna mengenai hak perjalanan udara.
Selaras dengan usaha Mavcom bagi memastikan tahap kualiti servis di lapangan terbang di seluruh negara berada dalam keadaan yang memuaskan, suruhanjaya telah meneruskan pelaksanaan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (QoS).
Pada 30 Jun 2020, 20 daripada 28 elemen kualiti perkhidmatan telah dilaksanakan di kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Selebihnya lapan elemen dijangka dilaksanakan pada tahun 2021.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, kebimbangan terhadap isu kesihatan dan sekatan perjalanan kerana Covid-19 menyebabkan industri penerbangan mengalami satu tempoh yang paling mencabar.
Walaupun perkhidmatan penerbangan telah mula beroperasi secara progresif, permintaan untuk perjalanan udara tetap jauh lebih rendah berbanding sebelum wabak ini berlaku.
Walaupun suruhanjaya tidak meramalkan pemulihan penuh dalam jangka masa terdekat ini, Mavcom akan meneruskan mandat melindungi hak pengguna yang menggunakan perkhidmatan udara di seluruh negara, katanya.- MalaysiaGazette