KUALA LUMPUR- Pekerja-pekerja pelantar minyak dan gas kini boleh sign-on dan sign-off dengan syarat mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi proses sign-on warganegara Malaysia, mereka diwajibkan menjalani ujian saringan sebelum ke pelantar minyak.
Manakala bagi pekerja bukan warganegara Malaysia, mereka wajin menjalani ujian saringan serta dikuarantin wajib 14 hari sebelum ke pelantar minyak.
“Bagi proses sign-off iaitu dari pelantar minyak ke darat, mereka hanya perlu menjalani ujian saringan dan tidak perlu menjalani kuarantin wajib,” katanya semasa sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan, rakyat Malaysia kini dibenarkan untuk ke luar negara bagi kes-kes kecemasan yang melibatkan ahli keluarga.
Selain itu, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri turut membenarkan pasangan dan anak yang bukan warganegara Malaysia yang tidak mempunyai Pas Jangka Masa Panjang untuk ke Malaysia.
“Namun begitu, mereka diwajibkan untuk memohon Pas Jangka Masa Panjang setibanya di Malaysia.
“Bagi penduduk tetap, mereka dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu membuat permohonan awal,” katanya lagi.- MalaysiaGazette