KUALA LUMPUR – Saksi perbicaraan rasuah dan salah guna kuasa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan dirinya berhenti menggunakan cop tandatangan bekas Timbalan Perdana Menteri itu selepas kes tersebut mula disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Saksi ke-90 itu, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang ketika itu menjadi Setiausaha Eksekutif kepada Ahmad Zahid mendedahkan, cop tandatangan itu digunakan pada cek-cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran kad kredit peribadinya.
Dakwa Mazlina, dia hanya menggunakan cop tandatangan itu selepas mendapat kebenaran Ahmad Zahid bagi urusan pembayaran bil-bil tersebut pada tahun 2014.
Bagaimanapun kata Mazlina, Ahmad Zahid kemudian memintanya untuk tidak lagi menggunakan cop tandatangan itu sekitar tahun 2016 kerana SPRM sedang menyiasat kes tersebut.
“Datuk Seri (Ahmad Zahid) selalu sibuk jadi terpaksa gunakan cop tandatangan. Lagipun penyata kad kredit juga sering diterima selepas tarikh akhir bayar dan saya khuatir jika bayaran dibuat terlalu lewat pihak bank akan menyekat penggunaan kad kredit Datuk Seri atau Datin Seri (Datin Seri Hamidah Khamis).
“Jika itu berlaku nanti ianya akan menyusahkan mereka, lebih-lebih lagi jika berada di luar negara. Bagi elak isu tersebut, saya minta kebenaran untuk gunakan cop tandatangan beliau, ketika itu beliau kata ok.
“Saya juga tidak menggunakan buku cek akaun peribadi Datuk Seri kerana tidak ada arahan daripada beliau untuk melakukan demikian.
“Kali terakhir saya menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk bayar kad kredit adalah pada awal tahun 2016.
“Selepas itu Datuk Seri telah meminta saya jangan gunakan lagi cek Yayasan Akalbudi untuk bayar kad kredit kerana dikatakan SPRM sudah mula buat siasatan sebaliknya membayar secara tunai,” katanya.
Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah ketika membacakan pernyataan saksinya pada prosiding tersebut.
Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Dalam pada itu, Mazlina turut memberitahu cop tandatangan itu juga pernah digunakan olehnya untuk mengecop sijil penghargaan, kad jemputan dan lain-lain pada masa-masa tertentu.
Saksi juga mendedahkan bagi pembayaran bil kad kredit, insurans juga cukai jalan kenderaan milik Ahmad Zahid yang menggunakan cek-cek Yayasan Akalbudi juga dicop selepas mendapat mendapat kebenaran tertuduh terlebih dahulu.
“Beliau seorang yang sangat teliti, setiap kali ingin mendapatkan tandangan beliau, saya akan membawa penyata kad kredit bersekali untuk rujukan Datuk Seri.
“Beliau akan semak terlebih dahulu, jika ada kesalahan ejaan beliau akan tegur. Jika tiada kesalahan, barulah beliau tandatangan,” ujarnya.
Namun dedah Mazlina, Ahmad Zahid tidak pernah menyoal dirinya setiap kali mengemukakan cek Yayasan Akalbudi yang telah diisinya bagi pembayaran bil kad kredit, insurans dan cukai jalan kenderaan.
Menurut Mazlina Ahmad Zahid juga telah mengarahkan dia untuk menyediakan cek-cek kepada TS Consultancy & Resources, Persatuan Bola Sepak PDRM dan Armada Holdings Sdn Bhd.
Perbicaraan akan bersambung esok. –MalaysiaGazette
Semakin jelas ler tu…..bersiap sedia aja lerr
Dulu kata ada orang guna cop tandatangan.,hari ini setiausha bocor rahsia ., guna cop tandatangan dan hentikan penggunaan atas arahan khikhikhi…mana mau lari (siapa mahu jadi kambing hitam) mestilah setiausha akan berkata benar di hadapan Yang Arif Tuan Hakim.