SLIM RIVER – Pusat pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ditutup secara rasmi pukul 5.30 ini selepas semua pengundi awal selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah yang keluar mengundi adalah sebanyak 96.25 peratus.
Pusat pengundian di Balai Polis Daerah Muallim dibuka tepat pukul 8.00 pagi membabitkan seramai 267 anggota dan pegawai polis yang layak mengundi.
Sebaik proses undian ditutup, peti undi bagi pengundian awal itu disimpan di lokap Ibu Pejabat Daerah Muallim.
Pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian di pusat pengiraan undi di Bilik Menunggu, Aras 3, Majlis Daerah Tanjong Malim, pada Sabtu ini.
Sementara itu, proses pengundian awal ini disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang telah dilantik oleh SPR.
“Di samping itu, SPR turut mengemaskini jumlah statistik proses pengundian itu menerusi Facebook SPR dari masa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette