KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 yang dibawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dalam sesi penggulungan peringkat dasar mengakui RUU itu berbentuk perundangan.
Jelasnya, RUU ini bersifat kompromi antara banyak pihak seperti penyewa, tuan rumah, penjual, pembiaya, peminjam dan sebagainya
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, kerajaan terpaksa mengambil masa panjang untuk memuktadkan draf RUU berkenaan dan ia turut melibatkan pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.
“Sebelum dibawa untuk dibentangkan, ia banyak diselesaikan menerusi saluran undang-undang berkaitan pindaan kepada perundangan subsidiari, pelbagai perintah dan peraturan dibuat serta ia turut diselesaikan secara pentadbiran.
“Kerajaan sudah membuat pindaan dan peraturan terhadap 58 perkara yang semuanya membabitkan kepentingan rakyat, antaranya pengecualian setem, cukai pendapatan dan peremitan fi sebanyak 20 peratus.
“Daripada jumlah itu, 24 atau hampir sebahagiannya adalah berkaitan ekonomi. Saya nak tekankan bahawa kerajaan sudah mengambil langkah untuk mewujudkan RUU ini sejak awal April dan Mei lalu.
“Bagaimanapun, bagi menjadikan akta ini sebagai undang-undang yang berkesan, maka kerajaan perlu mengadakan segala perancangan, perbincangan dan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan serta yang terkesan,” katanya.
Takiyuddin menegaskan bahawa kerajaan mengambil pendirian untuk mengadakan perancangan dengan teliti bagi mengelak sebarang isu berbangkit pada masa depan.
Singapura katanya telah menguatkuasakan akta sama untuk tempoh setahun, mulai 20 April lalu.
Ia bagaimanapun dipinda beberapa kali.
“Singapura buat pindaan baharu, masing-masing antaranya pada 12 Mei dan 19 Jun lalu, malah saya difahamkan bahawa hampir 10 pindaan dibuat terhadap akta di Singapura.
“Singapura juga difahamkan bakal menukar penaksir kepada pengantara dalam akta langkah sementara Covid-19 mereka, justeru wujud kesan yang baik, meskipun kita mengakui lewat itu mungkin ada kelemahan.
“Kelewatan ini adalah disebabkan kita mengadakan perancangan. Jika kita gagal merancang, kita merancang untuk gagal.
“Mungkin disebabkan tiada perancangan terperinci, Singapura terpaksa membuat pindaan susulan, dan saya juga tidak menolak kemungkinan, bahawa kita juga akan buat penambahbaikan dan perubahan pada masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette