KUALA SELANGOR – Kerajaan Selangor tidak bercadang untuk merombak atau memindahkan penjawat awam termasuk penguat kuasa negeri, sebagai langkah penyelesaian bagi membendung gejala rasuah dalam sektor berkenaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebaliknya, tindakan perundangan sedia ada dilihat lebih wajar dan memadai bagi mengekang kegiatan rasuah tersebut.
“Saya percaya hanya segelintir sahaja terlibat (dalam gejala rasuah) dan kita tidak boleh menghukum mereka yang belum didapati bersalah.
“Namun kebimbangan (kegiatan rasuah) ini wujud tetapi pertukaran (penjawat awam negeri) bukanlah jawapan kerana ia melibatkan (perbuatan) jenayah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penjenamaan semula Kolej Antarabangsa INPENS di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Eksekutifnya, Asyraf Amin.
Pada majlis berkenaan, Kolej Antarabangsa INPENS dijenamakan semula menjadi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor seiring agenda kerajaan negeri dalam merancakkan pembangunan sumber manusia dan tenaga mahir melalui pemerkasaan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Mengulas lanjut, Amirudin berkata pihaknya komited untuk bekerjasama dengan agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada laporan penglibatan rasuah dalam kalangan penjawat awam di negeri ini dan tidak akan melindungi mereka yang disyaki terlibat.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai serta kakitangan penguat kuasa jabatan kerajaan di negeri ini yang dilihat mencemarkan reputasi jabatan dan pihak berkuasa terlibat. – Bernama
Ko tahu apa mb, pjawab awam mkn rasuah..bukn ko jaga dia 24 jam..so nampak sgt mb slngor tak minat utk bendung rasuah dgn lbh bkesan…