Home Ekonomi Harga minyak melonjak ke paras tertinggi lima bulan

Harga minyak melonjak ke paras tertinggi lima bulan

NEW YORK – Harga minyak mentah naik ke paras tertinggi dalam tempoh lima bulan ketika pengeluar-pengeluar minyak Amerika Syarikat (AS) menutup sebahagian besar operasi pengeluaran luar pesisir di Teluk Mexico menjelang taufan Laura walaupun kes koronavirus meningkat di Asia dan Eropah.

Niaga hadapan Brent dan West Texas Intermediate (WTI) meningkat AS$0.73, masing-masing kepada AS$45.86 dan AS$ 43.35 setong.

Ia adalah penutupan tertinggi bagi kedua-dua penanda aras itu sejak 5 Mac, sehari sebelum Arab Saudi dan Rusia gagal menyetujui perjanjian baharu untuk mengurangkan pengeluaran dan kira-kira seminggu sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan Covid-19 sebagai wabak.

Pengeluar-pengeluar minyak Amerika Syarikat telah mengurangkan pengeluaran minyak mentah menjelang taufan Laura pada tahap ketika negara ini dilanda ribut Katrina tahun tahun 2005 dan juga menghentikan penyulingan minyak di sepanjang pantai Texas dan Louisiana.

Ribut Laura dijangka menjadi taufan besar dengan kekuatan angin selaju 185 kilometer sejam sebelum menyerang pantai berhampiran sempadan Texas-Louisiana pada awal Khamis, menurut Pusat Taufan Nasional AS.

Pada hari Selasa, pengeluar telah mengosongkan 310 kemudahan luar pesisir dan menutup pengeluaran di luar pesisir Teluk Mexico yang menghasilkan 1.56 juta tong sehari. – MalaysiaGazette