Home Utama Mahkamah Rayuan dengar permohonan 33 ADUN Sabah pada 7 September

Mahkamah Rayuan dengar permohonan 33 ADUN Sabah pada 7 September

Former Chief Minister of Sabah Tan Si Musa Aman Shafie Apdal appeal
Former Chief Minister of Sabah Tan Si Musa Aman

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini sebentar tadi telah menetapkan 7 September depan untuk mendengar permohonan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung pembubaran DUN Sabah.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah menolak permohonan semakan kehakiman 33 ADUN ini yang diketuai oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mencabar keputusan membubarkan DUN pada 31 Julai lepas.

Mahkamah Rayuan hari ini juga telah menetapkan tarikh sama untuk mendengar rayuan 33 ADUN terbabit berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai pembubaran DUN Sabah.

Tiga hakim bersidang hari ini diketuai Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Ravinthran Paramaguru dan Datuk Wira Ahmad Nasfy.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim membuat keputusan menolak semakan kehakiman itu selepas mendengar hujah peguam, Tengku Fuad Tengku Ahmad mewakili 33 ADUN yang mengemuka permohonan semakan terbabit dan hujah Peguam Besar Negeri, Brenndon Keith Soh.

Peguam Besar Negeri Sabah, Brandon Keith Soh berkata, mahkamah menetapkan keputusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menggunakan kuasa budi bicara dan tidak boleh dicabar.

Soh berkata, mahkamah menolak kes cabaran ke atas responden, iaitu tiada permohonan semakan semula, berikutan mahkamah mendapati keputusan Juhar tidak boleh diadili.

Terdahulu, Shim pada 17 Ogos lalu menetapkan hari ini bagi membuat keputusan selepas isu berkenaan dibawa ke mahkamah pada 7 Ogos oleh Tengku Fuad Ahmad, peguam kepada bekas Ketua Menteri Sabah yang juga ADUN Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman bersama 32 ADUN yang lain.

Juhar dinamakan sebagai responden pertama, Mohd Shafie sebagai responden kedua, SPR yang ketiga manakala kerajaan Sabah sebagai yang keempat.

Semua 33 ADUN berkenaan termasuk Musa pada 29 Julai lalu mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Juhar membubarkan DUN pada 30 Julai dan semua ADUN terbabit memohon semakan kehakiman kesahan pembubaran berkenaan. -MalaysiaGazette