PETALING JAYA – Keputusan senarai pendek dan pemilihan tiga pengadil tempatan untuk mengadili Piala Dunia 2026 ditangguhkan ke tahun hadapan.
Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid merangkap Pengerusi Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia berkata, keputusan itu yang sepatutnya diumumkan Julai tahun ini kini ditangguhkan ke awal tahun 2021.
Katanya Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) yang dilancarkan Mac lalu bagi tujuan itu, menyasarkan tiga pengadil tempatan diberi mandat mengadili Piala Dunia 2026 menjadi kenyataan.
“Oleh kerana Covid-19 sejak 18 Mac lalu mengakibatkan pergerakan terbatas dalam sektor sukan, keputusan yang sepatutnya diumumkan Julai ini tidak dapat direalisasikan.
“Bagaimanapun projek itu masih diteruskan menerusi beberapa sesi temuduga dalam talian diteruskan untuk memilih pengadil yang layak untuk projek tersebut.
“Kita sudah ada senarai terakhir dan insyallah kalau segalanya berjalan lancar, presiden FAM akan mengumumkan keputusannya nanti (tiga pengadil bertuah itu) tahun depan,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM Kelana Jaya dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyempurnaan penyerahan jersi pengadil yang ditaja oleh Paragon Vest Sdn.Bhd (Kronos) Malaysia yang bakal beraksi dalam Liga Premier dan Liga Super Malaysia mulai hujung minggu ini.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan secara spesifik tarikh dan masa mengenai pengumuman itu.
Untuk makluman pada Mac tahun ini,, FAM telah melancarkan MProRS dengan misi menjadikan pengadil tempatan sebagai penanda aras pengadilan di peringkat Asia.
Md Dali berkata, selain memartabatkan mutu pengadilan tempatan, MProRS merupakan salah satu usaha FAM dalam memastikan misi melihat tiga pengadil tempatan diberikan mandat pada kempen Piala Dunia 2026 menjadi kenyataan.
“Kita ketandusan pengadil untuk terlibat dalam Piala Dunia termasuk di Qatar pada 2022 dan kali terakhir adalah Subkhiddin Mohd Salleh pada edisi 2010 di Afrika Selatan. Hasrat FAM adalah untuk pastikan pengadil tempatan berjaya sehingga ke peringkat tertinggi.
“Jadi memang misi kita untuk melihat tiga pengadil tempatan beraksi pada Piala Dunia 2026 dan dengan adanya MProRS dan beberapa program lain diharap dapat membantu misi tersebut,” katanya.
Seramai enam pengadil kebangsaan telah disenarai pendek untuk menjadi perintis kepada MProRS dan hanya dua terbaik akan ditawarkan kontrak pengadil profesional pada Julai depan, berdasarkan prestasi ditampilkan sepanjang empat bulan pertama saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.
Mereka yang telah disenarai pendek ialah Muhammad Nazmi Nasaruddin; Mohd Yaasin Mohd Hanafiah; Zulkarnain Zakaria; Muhammad Faizuddin Ismail; Razlan Joffri Ali dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman.
Dalam pada itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata MProRS perlu menerapkan budaya pengadilan secara profesional dan konsisten selain mahir dalam teknologi terkini bagi meningkatkan lagi prestasi pengadil.
“Mereka yang terpilih menyertai MProRS akan diberikan bimbingan secara lebih terperinci, dilatih dengan cukup profesional dan akan dinilai prestasi supaya status pengadil profesional itu sama gah dengan namanya,” katanya.
Selaras dengan Peta Hala Tuju, FAM turut menyasarkan pada tahun 2022 terdapat enam hingga lapan pengadil kebangsaan bergelar profesional menerusi MProRS.
Pengadil tempatan sebelum ini berdepan pelbagai kontroversi dan kesannya sehingga FAM terpaksa mendapatkan khidmat pengadil profesional dari Jepun untuk mengendalikan perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak.-MalaysiaGazette