PETALING JAYA – Pengerusi Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia, Md Dali Wahid menafikan dakwaan bekas pengadil Malaysia, Subkhiddin Mohd Salleh yang mutu dan kualiti pengadil di negara ini gagal dibangunkan sehingga kini.
“Itu hanya pandangan peribadi beliau dan kita belum sampai ke tahap gagal seperti dimaksudkan lagi pun dia mungkin menerajui jawatankuasa berkenaan agak terhad dan tidak sempat membawa perubahan yang diimpikan.
“Kita belum sampai ke tahap itu dan sebaliknya masih berusaha melahirkan pengadil berkaliber dan pada masa sama kita hargai jasa Subkhiddin.
“Kami juga tidak menafikan mengenai masalah tertentu pengadil yang belum dapat diselesaikan namun dakwaan program pembangunan pengadil dianaktirikan itu adalah tidak benar sama sekali dan tidak dibiarkan begitu,” tegas beliau yang juga Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Md Dali berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili FAM menerima jersi baharu tajaan Kronos yang akan mula dipakai para pengadil Liga Malaysia apabila saingan CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 kembali bersambung hujung minggu ini.
Kronos, jenama sukan tidak asing di negara ini merupakan penaja rasmi pakaian pengadil Liga Malaysia bagi musim 2019 hingga 2021.
Tampil dengan rekaan terbaharu berwarna oren, jersi baharu berkenaan akan memberikan kesegaran dan semangat kepada para pengadil untuk kembali beraksi selepas saingan Liga Malaysia 2020 tertangguh lebih lima bulan sejak Mac lalu akibat Covid-19.
Majlis Penyerahannya berlangsung di Wisma FAM di Kelana Jaya dekat sini dan FAM menerimanya daripada Pengarah Urusan Paragon Vest Sdn.Bhd (Kronos Malaysia) Tiew Cheng Tai dan Pengurus Besar Paragon Vest Sdn.Bhd (Kronos Malaysia), Vincent Lai Wan Onn.
Majlis turut disaksikan Naib Presiden FAM yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan.
Md Dali menegaskan,penajaan jersi oren oleh Kronos dapat menyuntik semangat pengadil di atas padang lebih berkualiti dan profesional serta mampu memperbaiki mutu pengadilan perlawanan.
“Liga akan disambung semula hujung minggu ini dan jutaan rakyat akan kembali menonton setiap perlawanan serta mutu pengadilan anda semua.
“Maka saya mengharapkan pengadil dapat meminimakan kesilapan dan menyelesaikan perkara yang tak diselesaikan pada baki perlawanan nanti..
“Kami juga bangga dengan komitmen Kronos Malaysia menaja jersi pengadil dan harap terus menaja jersi kami pada masa akan datang,’ ujar beliau.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis, Vincent pula berkata, walaupun Covid-19 menjejaskan sektor sukan termasuk perniagaan industri itu, pihaknya tetap komited untuk mengeluarkan setiap produk sukan mengikut kehendak pengguna sukan tanahair.
“Kami tetap merancang bersama pasukan pengadil nak berikan suntikan semangat dengan menyumbang jersi baharu untuk barisan pengadil kebangsaan sempena liga yang akan disambung semula.
“Kami percaya penyarungan jersi serba berwarna ini memberi semangat dan kesegaran baharu nanti selain memberi impak serta menambah prestasi liga super dan premier,” katanya.
Dalam pada itu menyentuh mengenai perancangan dan kerjasama masa depan Kronos selain FAM, katanya, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan dua pasukan Liga Premier Malaysia iaitu satu di Selatan dan satu lagi di Pantai Timur Semenanjung untuk penajaan jersi pemain pasukan.
“Setakat ini susah hendak mengesahkan sebab ada dua tiga pasukan dalam perbincangan kami dan mengharapkan dalam tempoh sebulan dua lagi akan dapat maklum balas pasukan itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette