KUALA LUMPUR – Mungkin terdapat pihak yang berpandangan pengumuman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membuka keahlian, sekali gus meminda perlembagaan parti untuk membolehkan bukan Melayu memegang jawatan, adalah tidak wajar.
Mereka yang menentangnya adalah adalah parti berasaskan kaum yang menganggap mengapa perlu ada begitu banyak parti walhal jumlah kaum minoriti tidak banyak.
Ini akan menyebabkan berlakunya perpecahan kaum.
Namun lain pula pandangan Presiden Pusat Aduan Rakyat (PAR), Datuk A Chandrakumanan yang menyatakan, pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin itu membangkitkan kembali hasrat dan visi pengasas UMNO, Datuk Onn Ja’afar pada tahun 50-an.
“Mungkin ada sedia maklum sekitar tahun 1946, Datuk Onn Ja’afar telah menubuhkan UMNO selepas berbincang dan bergabung dengan lebih 40 pertubuhan Melayu sebagai satu platform kepada orang Melayu bersatu untuk menentang pembentukan Malayan Union.
“Di bawah kepimpinannya, UMNO berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union yang membawa kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.
“Tidak terhenti setakat itu, Datuk Onn juga sanggup meletakkan jawatan dalam UMNO pada tahun 1951 selepas iltizam beliau untuk membuka keahlian UMNO kepada semua bangsa tidak diterima oleh kepimpinan UMNO pada masa itu.
“Setelah Datuk Onn meninggalkan UMNO, beliau dan rakan-rakannya yang lain membentuk sebuah parti baru iaitu Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos, 1951.
“Kegagalan parti berbilang kaum pada pilihan raya Perbandaran Kuala Lumpur 1952 telah mendorong Datuk Onn untuk tinggalkan parti tersebut dan bersamanya, impian parti berbilang kaum yang bersatu,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Chandrakumanan, setelah hampir 70 tahun selepas peristiwa bersejarah itu, kini muncul seorang lagi anak kelahiran Johor yang membawa aspirasi sama yang didukung oleh Datuk Onn pada zaman pra merdeka.
“Mungkin ramai tidak sedar tapi ikutlah realitinya.
“Ramai tidak sedar bahawa kedua-dua pemimpin ini sebenarnya membentang satu idea yang bersifat revolusi melibatkan berbilang bangsa di Malaysia yang mampu bersatu dan mentadbir bersama tanpa di hindari oleh status bangsa.
“Idea revolusi ini yang didukung oleh Datuk Onn dulu dan siapa sangka Muhyiddin hari ini kerana kedua-dua pemimpin terulung ini menyedari bahawa hubungan etnik yang harmonis menjadi anak kunci bagi keseimbangan antara kekukuhan ekonomi dan kestabilan politik,” ujarnya penuh teruja.
Jelas Chandrakuman lagi, mungkin ada segelintir pihak tidak memahami apa yang lebih penting dalam konteks Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk ialah usaha berterusan untuk memupuk dan mengekalkan keharmonian ini.
“Sekiranya tidak dilakukan dalam sekelip mata maka pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik yang kita nikmati ini sememangnya akan tergugat.
“Malah jika hubungan renggang di antara kaum di negara kita hari ini tidak dibaiki secepat mungkin hakikatnya Malaysia akan jadi seperti kawasan pantai yang dilanda ombak taufan,” katanya.Kata Chandrakumanan, Muhyiddin tidak mempunyai sebarang keperluan untuk mengundang kaum lain ke dalam pentadbiran partinya.
“Kedudukannya sebagai Perdana Menteri tidak terancam, partinya sudah pun diterima masuk ke dalam Muafakat Nasional dan rakyat Malaysia amat berpuas hati dengan kepimpinan yang ditunjukkan oleh beliau sepanjang tempoh negara kita berdepan dengan pandemik Covid-19 ini.
“Malah Muhyiddin hari ini digelar ‘abah’ oleh majoriti rakyat Malaysia. Ini sepatutnya memadai untuk membuktikan hakikatnya Muhyiddin tidak ada sebarang keperluan untuk membuka ruang kepada bangsa lain di dalam partinya untuk merai skor politik.
“Risiko ini tetap diambil padahal Muhyiddin juga pastinya lebih daripada sedar nasib Dato Onn’ selepas melakukan perkara yang sama.
“Namun demikian, beliau tetap sanggup mengambil risiko politik ini untuk memastikan keharmonian Malaysia tejamin pada masa depan.
“Bukankah dari sini kita boleh sedar betapa besarnya aspirasi Muhyiddin dalam menyatukan rakyat.
“Beliau selaku seorang pemimpin yang berpandangan jauh sedar Malaysia tidak akan berjaya jika agenda kaum dan bangsa diguna pakai sebagai senjata politik untuk satu dekad lagi.
“Kali ini, saya pasti Muhyiddin akan berjaya di mana Datuk Onn gagal. Ini kerana kematangan politik di kalangan rakyat Malaysia hari ini adalah tinggi.
“Dan, kita telah hidup bersama selama hampir 70 tahun iaitu hampir 2 generasi bersama secara aman dan makmur. Terima kasih Tan Sri Muhyiddin kerana anda sanggup mendukung aspirasi revolusi ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette