Home Nasional UPSRx, PT3x tiada kaitan dengan KPM, sekadar untuk penilaian kendiri

UPSRx, PT3x tiada kaitan dengan KPM, sekadar untuk penilaian kendiri

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pandai Education Sdn Bhd, pengendali Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Khas (UPSRx) dan Pentaksiran Tingkatan 3 Khas (PT3x) menjelaskan kedua-dua ujian yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan dan Oktober ini bukan di bawah kendalian Lembaga Peperiksaan.

Malah, ujian-ujian tersebut juga tidak ada kaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan bukan inisiatif rasmi KPM.

Sebaliknya, Pandai Education berkata, UPSRx dan PT3x ialah inisiatif percuma yang bertujuan memberi peluang pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3 menjalani penilaian kendiri melalui ujian tidak rasmi secara atas talian.

UPSRx dan PT3x ini dilakukan secara atas talian untuk pengguna aplikasi Pandai.

”Pihak kami memohon maaf jika ada sebarang kekeliruan yang mungkin berlaku dan berharap kenyataan media ini dapat memperjelaskan kekeliruan tersebut,” katanya.

Semalam, KPM menafikan kementerian itu mengendalikan peperiksaan UPSRx dan PT3x.

Ini kerana, pada 15 April lalu, KPM telah mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR dan PT3 bagi tahun 2020 dibatalkan.

Dua peperiksaan itu dibatalkan ekoran penularan Covid-19 di negara ini. – MalaysiaGazette

KPM ambil tindakan terhadap portal tawar UPSRx, PT3x