KUALA LUMPUR – Premis-premis perniagaan termasuk kedai serbaneka 24 jam hanya dibenarkan sehingga jam 12 malam sahaja.
Walau bagaimanapun, klinik-klinik swasta dibenarkan beroperasi 24 jam dengan syarat harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk pengunaan aplikasi MySejahtera.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Task Force Operasi Pematuhan telah menahan 63 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.
Daripada jumlah itu, tiga individu telah direman dan 60 individu lagi dikenakan kompaun.
Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (11), sebarang aktiviti yang melanggar SOP (28), premis beroperasi lebih masa (14), tidak memakai pelitup muka (9) dan gagal mematuhi arahan kuarantin (1)
”Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya di sini.
Dalam pada itu, Operasi Benteng yang melibatkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan agensi-agensi lain telah menahan 4,072 pendatang asing ttanpa izin (PATI) sejak 1 Mei hingga semalam.
Selain itu, 685 orang tekong dan 230 turut dicekup menerusi operasi berkenaan serta menahan 170 bot/kapal serta 431 kenderaan. – MalaysiaGazette