MELAKA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berharap lebih ramai penghantar makanan mendapatkan perlindungan keselamatan sosial melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar berkata ini kerana sehingga kini pihaknya hanya menerima 62 pencarum berdaftar di bawah SKSPS, sedangkan difahamkan terdapat hampir 600 penghantar makanan di seluruh Melaka.
“SKSPS memberi perlindungan kepada orang berinsurans yang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa bekerja termasuk tanggungan mereka jika berlaku kematian berkaitan bencana pekerjaan.
Beliau berkata antara faedah yang disediakan melalui skim itu adalah faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan pinjaman pendidikan.
Terdahulu, hadir menyempurnakan majlis bersempena Konvoi Santai Merdeka Malaysia Prihatin 2020 melibatkan 63 peserta itu adalah Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Konvoi yang menempuh perjalanan sejauh 246 kilometer bermula di Putrajaya selain singgah di Seremban, Negeri Sembilan dan berakhir di Melaka itu diketuai oleh Ketua Cawangan Saraan, Prestasi dan Kemudahan Perkeso Mohd Razmi Khalid.
— BERNAMA