Home Politik Mengapa ada pemimpin Warisan lebihkan kaum berketurunan Brunei – PCS

Mengapa ada pemimpin Warisan lebihkan kaum berketurunan Brunei – PCS

KOTA KINABALU – Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Cinta Sabah (PCS), Tay Jock Liang melahirkan rasa terkilan serta kecewa dengan kenyataan tidak bertanggungjawab oleh pemimpin Warisan menjelang pilihan raya negeri (PRN) demi mendapatkan undi.

Kenyataan Ahli Dewan Undangan Bongawan, Dr Daud Yusuf yang sepatutnya menjadi contoh pemimpin yang baik.

Menurut Jock Liang berkata, Dr. Daud yang dilihat cuba meminggirkan kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) di Bongawan dalam agenda pembangunan di kawasan itu.

Soal Jock Liang, apakah motif kenyataan itu yang dilihat bersifat dendam ekoran kekalahan parti Warisan pada pilihanraya kecil (PRK) Kimanis di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) KDM.

Menurutnya, sentimen itu ketara apabila Dr Daud dalam kenyataannya hanya mengajak etnik Brunei di Bongawan dalam perancangan pembangunan industri minyak dan gas di kawasan tersebut jika Warisan sekali lagi memerintah selepas PRN.

“Ini adalah realiti dan bukannya pembohongan kerana kenyataan itu boleh dilihat dalam artikel media massa dan sosial media yang jelas meminggirkan KDM jika sekali lagi Warisan menang pada PRN Sabah.

“Umum mengetahui Warisan pada PRK Kimanis awal tahun ini telah tewas kepada Barisan Nasional (BN) dan keputusan itu amat memeranjatkan kepimpinan Warisan yang sejak awal lagi yakin menang besar.

“Apa yang pasti, sokongan KDM di semua saluran PDM menolak Warisan termasuk di beberapa kawasan PDM etnik Brunei khususnya saluran anak muda yang majoritinya tidak mengundi parti ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Dr Daud mengundang kepada tidak puashati dan kemarahan dalam kalangan netizen khususnya KDM Parlimen Kimanis.

Menurut Jock Liang,  pihaknya faham kekalahan Warisan dalam PRK sesuatu yang menyakitkan namun tidak perlu sampai ke tahap dendam hingga meminggirkan KDM yang merangkumi 40 peratus jumlah pengundi di Parlimen Kimanis dalam agenda pembangunan masa depan.

Katanya, beliau tidak faham kenapa Dr. Daud dan kepimpinan Warisan perlu ‘pilih bulu’ terhadap KDM Kimanis.

Tambah beliau, adalah janggal apabila etnik Brunei secara terang-terangan menolak kepimpinan Warisan pada PRK Kimanis lalu.

“Jika inilah tahap pemikiran cetek dan sungguh rasis dalam kalangan pemimpin Warisan seperti Dr Daud ini, sebenarnya yang kecewa bukan sahaja KDM sebaliknya hampir semua di Sabah.

“Jika maruah KDM di Kimanis pun boleh dilakukan sesuka hati, apatah lagi KDM di seluruh negeri ini. Fikirkanlah sikap Warisan yang jelas pilih kasih. Kita perlu pimpinan yang tidak pandai memilih bulu sebaliknya bekerja sebagai wakil rakyat untuk semua.

“Warisan dan Dr Daud mungkin lupa bahawa sokongan KDM memainkan peranan besar ke atas kemenangan beliau sebagai calon Warisan di DUn Bongawan pada PRU14 lalu namun balasan diterima KDM ketika ini menghampakan,” tegasnya.

Katanya, sudah tentu KDM gembira apabila jawatan Unit Pegawai Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bongawan diserahkan kepada mereka selepas PRU14 lalu namun ia tidak membawa manfaat kepada kaum itu Kimanis.

Tambah beliau, ini kerana individu yang dilantik bukan pilihan majoriti KDM Kimanis disebabkan lantikan berdasarkan cadangan individu yang mempunyai kaitan dengan pemimpin tertinggi Warisan Pusat dan warga KDM Kimanis maklum tentang perkara itu.

“Justeru, sudah tiba masanya KDM untuk sekali lagi menghukum Warisan khususnya di Kimanis kerana jelas parti itu memandang rendah kemampuan etnik ini yang berperanan besar hingga Warisan/UPKO berjaya membentuk kerajaan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette