ALOR SETAR – Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda adalah antara 32 individu yang ditahan kerana dipercayai menyertai parti liar sekali gus mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah rumah di Taman Bandar Mutiara dekat Sungai Petani, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata anggota berpangkat Koperal yang berumur 24 tahun yang turut didapati positif dadah jenis syabu serta ketamin itu ditahan bersama 21 lelaki dan 10 wanita yang berumur antara 17 dan 31 tahun.
Beliau berkata pada mulanya sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan taman berkenaan telah menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 3.20 pagi mengenai bunyi muzik yang kuat dari rumah dua tingkat tersebut.
Adzli berkata hasil ujian saringan urin yang dilakukan terhadap kesemua individu yang ditahan itu mendapati 15 lelaki dan enam wanita positif dadah pelbagai jenis.
“Seramai 21 individu yang positif dadah ini akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani esok pagi untuk proses reman manakala 11 lagi individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dikenakan kompaun berjumlah RM1,000 setiap seorang. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.7) 2020 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
— BERNAMA