TEHRAN – Beberapa lelaki bersenjata melancarkan dua serangan di Tehran, Iran pada pagi Rabu sehingga mengorbankan seorang pengawal keselamatan Parlimen dan mencedarakan beberapa orang awam di Makam Ayatollah Khomeini di selatan Tehran.
Seorang ahli Parlimen, Elias Hazrati berkata, tiga penyerang yang mana seorang menggunakan pistol manakala dua lagi bersenjatakan rifel AK-47 telah menceroboh kawasan parlimen.
Agensi berita ISNA yang memetik ahli-ahli parlimen berkata, kesemua pintu bangunan tersebut telah ditutup dan salah seorang penyerang telah dikepung oleh pasukan keselamatan.
Dalam satu insiden berbeza, seorang lelaki bersenjata telah melepaskan tembakan sehingga mencederakan beberapa orang awam di Makam Ayatollah Khomeini.
Menurut ISNA, penyerang di makam tersebut telah meletupkan dirinya sendiri.
Identiti dan motif serangan masih belum diketahui.- MalaysiaGazette