Home Politik 24 jam untuk Guan Eng dedah minit mesyuarat jual tanah Peel Avenue

24 jam untuk Guan Eng dedah minit mesyuarat jual tanah Peel Avenue

Jason Loo

PULAU PINANG – Parti Gerakan negeri memberi tempoh 24 jam kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk mendedahkan minit mesyuarat penjualan tanah Peel Avenue di sini, kepada umum.

Pemangku Ketua Pemudanya, Jason Loo berkata, minit mesyuarat itu bagi membuktikan penjualan tanah milik rakyat tersebut dibuat berdasarkan keputusan Ahli Lembaga Pengarah atau jawatankuasa berkaitan di bawah Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

Menurut beliau, pendedahan minit mesyuarat itu juga bagi membuktikan penafian Guan Eng kononnya penjualan tanah tersebut kepada pemaju swasta bukan dibuat berdasarkan keputusan seorang individu semata-mata.

“Disebabkan Guan Eng menafikan dakwaan saya sebelum ini yang mana keputusan menjual tanah itu dibuat berdasarkan `one man’s decision’, maka beliau perlu mendedahkan minit mesyuarat berkenaan kepada umum bagi membuktikannya.

“Kegagalan berbuat demikian bermakna prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang kononnya diperjuang Kerajaan DAP Pulau Pinang selama ini sudah mati dan wajar dikebumikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kontroversi penjualan tanah rakyat seluas tiga hektar di Lebuh Raya Peel, Georgetown itu berlanjutan selepas Gerakan mendakwa tanah tersebut dijual berdasarkan keputusan seorang individu sahaja, bukannya melalui mesyuarat Exco.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Guan Eng yang mendakwa keputusan penjualan tersebut dibuat semua barisan Exco kerajaan negeri.

Sebelum ini, Guan Eng juga mengakui tanah tersebut sudah diberi pajakan jangka panjang kepada pemaju swasta secara rundingan terus bagi sebahagian pembangunan hospital swasta.

Bagaimanapun, keputusan itu dibantah banyak pihak yang mempersoal tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang membelakangkan prinsip tender terbuka selain projek hospital swasta di tanah rakyat berkenaan tidak menguntungkan majoriti penduduk negeri ini. – MalaysiaGazette