KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong cadangan supaya kadar kompaun bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta 342 dinaikkan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda berbanding sekarang.
“Sehubungan itu, saya juga menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang.
“Walaupun begitu perkara ini perlu diperhalusi dan Akta 342 itu perlu dipinda terlebih dahulu,” katanya semasa menyampaikan Perutusan Khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) hari ini.
PKPP dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
Tegas Muhyiddin, tiada siapa yang terkecuali daripada peraturan tersebut dan sesiapa yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal.
Katanya, negara masih berhadapan cabaran getir dalam menangani penularan wabak Covid-19 kerana virus berkenaan masih aktif menular di seluru dunia dan mampu tersebar dengan cepat pada skala yang besar.
“Saya sedar bahawa kita tidak boleh mengambil mudah risiko penularan virus super spreader di negara kita. Oleh itu peraturan kuarantin yang ketat di tempat-tempat tertentu akan terus dikuatkuasakan,” katanya lagi.
Selain itu, Muhyiddin memaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang berunding dengan pihak pengilang dan pembekal untuk menurunkan harga pelitup muka sekali gus mengurangkan beban rakyat.
Katanya, pelitup muka adalah satu barangan keperluan yang digunakan oleh orang ramai pada hampir setiap masa.- MalaysiaGazette
Akta 342: KKM cadang naikkan kompaun dari RM1,000 kepada RM10,000 terhadap individu ingkar